Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Peningkatan Kes COVID-19: Sambutan Hari Sukan Negara 2020 Ditangguh

KUALA LUMPUR, 2 Okt — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menangguhkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2020 yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 10 Okt ini ke satu tarikh bersesuaian, susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu kenyataan berkata penangguhan berkenaan diputuskan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan risiko penyebaran wabak itu selain memastikan keselamatan semua pihak yang bakal terlibat pada sambutan berkenaan nanti.

“Negeri-negeri, kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan, sekolah-sekolah, mahupun persatuan-persatuan dan komuniti sukan yang telah bercadang untuk menganjurkan sambutan bersama bagi merancakkan lagi suasana Hari Sukan Negara juga disarankan supaya mengambil langkah yang sama,” kata Reezal Merican.

Beliau turut menasihatkan semua penggiat sukan di negara ini supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan pihak berkuasa seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan, KBS dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hari ini memaklumkan sebanyak 287 kes baharu COVID-19 dikesan, jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu di Malaysia yang sekali gus menjadikan kes positif virus itu kini berjumlah 11,771 kes.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story