Siakap Keli
Gambar: Bernama

Zulkifli Akan Ke Arab Saudi Dapatkan Maklumat Status Haji

NILAI, 2 Okt (Bernama) — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan mengadakan kunjungan ke Arab Saudi pada awal tahun depan untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai status perjalanan ibadat haji rakyat Malaysia musim 2021.

Katanya, kunjungan berkenaan juga penting bagi mendapatkan butiran bagi pelaksanaan ibadah haji dan umrah dalam suasana normal baharu susulan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

“Kita akan tengok secara menyeluruh kenyataan daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan kita juga akan cuba dapatkan satu maklumat rasmi mungkin pada Januari atau awal lagi dengan berkunjung ke Arab Saudi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Portal Jom Infaq Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, maklumat mengenai pelaksanaan ibadah haji ibadat haji dan umrah ke tanah suci akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan buat masa ini ia bergantung kepada keputusan Kerajaan Arab Saudi.

Pada 23 Sept lepas, media melaporkan kerajaan Arab Saudi membuat keputusan membenarkan jemaah luar negara menunaikan umrah bermula 1 Nov ini dengan dengan kapasiti dinaikkan sehingga 20,000 orang sehari.

Kerajaan Arab Saudi telah menggantung kemasukan jemaah untuk melakukan umrah ke tanah suci pada Mac lalu berikutan wabak COVID-19, tetapi membenarkan ibadah haji berlangsung dalam bilangan yang terhad sekali gus menjejaskan hasrat berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang memperketatkan prosedur operasi standar (SOP) di surau, masjid dan solat Jumaat memandangkan kes positif COVID-19 semakin meningkat dan membimbangkan, Zulkifli berkata keputusan akan dibuat berdasarkan unjuran kes secara keseluruhan.

“Kita tengok unjuran keseluruhannya dan akan memantau dari semasa ke semasa, Pada masa ini SOP sedia ada sudah mencukupi,” katanya menambah perbincangan mengenai SOP tambahan jika perlu, akan dibincangkan dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Isnin ini.

Kes positif baharu tertinggi 287 yang dicatat hari ini, meletakkan Malaysia di peringkat awal gelombang ketiga penularan COVID-19 dengan jumlah kes positif COVID-19 meningkat kepada 11,771.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right