Siakap Keli
Gambar: News USM

Ibu Sanggup Redah 50Km Tunggang Motor Demi Daftar Anak Masuk Universiti

Kasih ibu membawa ke syurga. Kerana mahukan yang terbaik untuk anaknya, seorang ibu berusia 53 tahun sanggup meredah perjalanan sejauh kira-kira 50 kilometer menaiki motosikal untuk mendaftarkan anaknya ke universiti.

Jumiati Masud bersama anak sulungnya, Muhammad Izzulhaq Mohamed Hasnan, 19, dilihat hadir bersama bagasi dan beberapa barangan lain ketika sesi pendaftaran di Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Katanya, beliau bersyukur kerana masih dapat memberi keselesaan kepada anaknya untuk menuntut ilmu dalam persekitaran yang kondusif dengan menghantar anaknya ke asrama.

Gambar: News USM

Menurut media USM, universiti berkenaan memberi tiga pilihan kepada para pelajar baharu untuk mendaftar, sama ada hadir mendaftar dan pulang bersama waris; atau hadir mendaftar dan tinggalkan barang di asrama atau daftar dan terus tinggal di asrama.

“Saya memilih untuk anak saya tinggal di asrama. Biarlah Muhammad Izzul belajar dalam suasana yang terbaik kerana jika di rumah, kemudahan internet tidaklah begitu baik dan kami tiada kemudahan wifi atau sebagainya,” ujarnya.

“Semua ibu akan lakukan yang terbaik untuk anak-anaknya,” katanya yang sanggup meredah perjalanan jauh dari Simpang Empat (Seberang Perai Selatan) dan menyeberangi Jambatan Pulau Pinang untuk ke sana.

Beliau berharap Muhammad Izzul dapat merasai suasana menjalani kehidupan baru sebagai mahasiswa universiti.

“Saya hanya mahu mereka untuk belajar bersungguh-sungguh dan jadi insan yang berguna. Saya juga bersyukur dan gembira kerana hasrat Muhammad Izzulhaq untuk melanjutkan pengajian di USM dalam jurusan pendidikan dimakbulkan Allah,” tambahnya.

Gambar: News USM

Jual kuih untuk sara hidup

Kongsi Jumiati, beliau menjual kuih untuk menyara kehidupannya bersama tiga anak. Di samping itu katanya, mereka juga bergantung kepada motosikal yang menjadi pengangkutan utama keluarga berkenaan.

“Sebelum ini Muhammad Izzulhaq pernah menerima tawaran dari sebuah universiti di Kuala Lumpur namun kami terpaksa menolak kerana keadaan kewangan tidak mengizinkan,” katanya.

Tambahnya, beliau bersyukur kerana anaknya diterima ke USM yang lebih dekat dan berada dalam negeri yang sama.

Ingin belajar bersungguh-sungguh

Muhammad Izzulhaq yang mendapat keputusan cemerlang ketika di matrikulasi berazam untuk belajar bersungguh-sungguh demi membalas jasa ibunya.

Pelajar yang mendapat PNGK 3.96 di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang itu turut meluahkan kerisauan melihat ibunya pulang sendiri ke rumah mereka.

“Saya juga risau lihat ibu balik sendiri ke Simpang Empat. Namun terpaksa akur kerana ibu tekad dan sanggup bersusah-payah demi saya. Saya berdoa Allah permudahkan urusan saya untuk menuntut ilmu di USM,” katanya.

Muhammad Izzulhaq merupakan antara pelajar yang diterima dalam jurusan Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan dan mendaftar pada hari kedua sesi pendaftaran pandu lalu sidang akademik 2020/2021 di USM semalam.

Sumber: News USM

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.