Siakap Keli

Jepun Dilapor Rancang Agih Vaksin COVID-19 Secara Percuma Untuk Rakyatnya

Kerajaan Jepun dilapor merancang untuk mengagihkan vaksin COVID-19 secara percuma kepada seluruh rakyatnya.

Menurut laporan Japan Times, kerajaan negara matahari terbit itu akan menanggung semua kos dan merancang untuk mendapatkan bekalan yang mencukupi menjelang hujung Jun tahun depan.

Sekurang-kurangnya 670 bilion Yen daripada rizab negara berkenaan akan dibelanjakan untuk tujuan itu.

Ketika ini, vaksin COVID-19 sedang dibangunkan diseluruh dunia, termasuk di Jepun.

Polisi pemberian vaksin secara percuma itu akan dibincangkan dalam mesyuarat panel Kementerian Kesihatan Jepun pada awal minggu depan.

Melalui polisi ini, kerajaan Jepun berharap ia dapat menggalakkan warganya mendapatkan vaksin berkenaan secepat mungkin, apabila ia ditawarkan kelak.

Kerajaan Jepun juga ketika ini sedang bersiap sedia untuk berdepan wabak berganda iaitu COVID-19 dan influenza bermusim. Malah, program vaksin tahunan bagi menentang influenza bermusim sudahpun dimulakan pada Khamis lepas.

Ketika ini, Amerika Syarikat dan Britain sedang mendahului usaha pembangunan vaksin COVID-19. Oleh itu, kerajaan Jepun dilaporkan sedang bergiat menandatangani perjanjian persefahaman dengan pembekal-pembekal vaksin berkenaan daripada kedua-dua negara tersebut.

Jepun ketika ini juga sedang mempersiapkan diri dengan sistem bersesuaian bagi mengagihkan vaksin ke seluruh negaranya dengan ramalan vaksin COVID-19 mula ditawarkan pada penghujung tahun ini ataupun awal tahun depan.

Selain itu, mereka turut dalam perancangan untuk memperuntukan dana khas dalam bajet 2021 yang dijangka diumumkan pada April depan yang akan digunakan untuk menambah stok vaksin.

Sumber: Japan Times

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.