Siakap Keli
Gambar: Bernama

TERKINI COVID-19: Dua Kluster Baru Dilaporkan Hari Ini, Masing-masing Di Sabah & Selangor

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar sebentar tadi memaklumkan pertambahan dua kluster baru, masing-masing satu di Selangor dan satu di Sabah.

Perincian kluster baru adalah seperti berikut.

Kluster Kau Sing, Sabah

Kluster ini dikesan di Tawau dengan kes indeks (kes-10755) adalah seorang lelaki warganegara berumur 29 tahun. Dia dikesan positif melalui ujian saringan individu bergejala pada 25 September dan dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.

Susulan saringan kontak rapat, enam lagi kes positif dikenalpasti. Daripada 7 kes yang dilaporkan, 5 kes melibatkan warganegara manakala 2 kes melibatkan bukan warganegara. Kesemua pesakit dimasukkan ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan.

Sehingga 4 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 27 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah seperti berikut:

  • Tujuh (7) dikesan positif COVID-19;
  • Sembilan (9) individu dikesan negatif; dan
  • 11 individu masih menunggu keputusan.
  • Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan.

Kluster Embun, Selangor

Kluster ini dikesan di Hulu Langat. Kes indeks kluster (kes ke-11147) adalah seorang lelaki warganegara berusia 41 tahun yang dikesan positif COVID-19 melalui saringan individu bergejala pada 29 September dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Susulan saringan kontak rapat, empat lagi kes positif dikenal pasti. Semua kes melibatkan warganegara dan dimasukan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Sehingga 4 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 52 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah seperti berikut:

  • Lima (5) dikesan positif COVID-19;
  • 21 individu dikesan negatif; dan
  • 26 individu masih menunggu keputusan.
  • Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.