Gambar: Bernama

COVID-19: Kampung Budaya Terengganu Ditutup Sementara

KUALA TERENGGANU, 5 Okt — Kerajaan negeri menutup sementara Kampung Budaya Terengganu bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, penutupan tersebut bermula hari ini sehingga 31 Oktober selaras dengan pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Arahan penutupan melibatkan keseluruhan operasi serta pengisian program dan aktiviti di Kampung Budaya Terengganu kecuali kakitangan dalam perkhidmatan perlu seperti keselamatan dan penyelenggaraan yang tertakluk kepada kelulusan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Kampung Budaya Terengganu yang diadakan sekitar Kompleks Muzium Negeri itu telah bermula pada 3 Sept lepas dan menurut jabatan berkenaan sepanjang beroperasi, pihak pengurusan sentiasa memastikan kakitangan dan pengunjung mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Lokasi tarikan baharu pelancong yang berkonsepkan muzium hidup itu, menjadi pusat sehenti yang menghimpunkan pelbagai seni budaya warisan dari seluruh daerah di Terengganu.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Editor: Aqmal Ezany

Tambah komen