Seorang wanita di China terkejut selepas mendapati terdapat dua batang jarum tertanam di otaknya semasa melakukan CT scan berikutan kemalangan jalan raya yang menimpanya.
Menurut portal Odditycentral.com, wanita yang berusia 29 tahun dari Zhengzhou itu dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan raya dan telah dinasihatkan untuk melakukan CT scan bagi memastikan tiada komplikasi di kepalanya.
Walaupun pemeriksaan tersebut menunjukkan bahawa tiada kecederaan yang berkaitan dengan kemalangan itu di kepalanya, namun doktor telah menemui sesuatu yang telah menimbulkan tanda tanya berada di dalam kepalanya.
Imbasan itu telah menemukan dua batang jarum yang panjangnya sekitar 5cm telah tertanam jauh di dalam otaknya.
Yang peliknya, jarum tersebut tidak ada kaitan langsung dengan kemalangan kereta yang dialami wanita itu, kerana tiada kecederaan pada tengkorak serta kepalanya semasa pemeriksaan itu dijalankan.
Wanita itu juga turut memaklumkan bahawa dia tidak pernah ada kecederaan serius pada kepalanya langsung sebelum ini.
Doktor percaya bahawa jarum itu telah dimasukkan secara sengaja mahu pun tidak sengaja ke dalam kepala wanita berkenaan ketika dia masih kecil, kerana jika dilihat dari kedudukannya, jarum tersebut tidak akan dapat menembus tengkorak yang telah berkembang sepenuhnya.
Tambahan lagi, dia juga telah menyatakan bahawa dia tidak pernah mengalami sebarang kecederaan di bahagian kepalanya pada sebelum ini.
Wanita tersebut mendakwa bahawa dia tidak pernah mengalami kesakitan atau berasa sakit pada bahagian kepalanya selama dia hidup. Doktor telah mengesahkan bahawa atas faktor kenipisan jarum tersebut serta bahagian di mana jarum itu berada, ianya tidak menimbulkan sebarang masalah kepada wanita berkenaan.
Menurut laman web China bernama Sohu, wanita itu telah melaporkan penemuan imbasan CT itu kepada polis tempatan. Dia dilaporkan berasa curiga berkenaan asal-usul jarum yang berada di kepalanya, namun tidak ingin memberi ulasan lanjut mengenainya pada masa ini.
Sumber: Oddity Central