Siakap Keli
Gambar: Head Topics

Pereka Fesyen Terkenal, Kenzo Takada Dilapor Meninggal Dunia Akibat COVID-19

Pengasas jenama fesyen terkenal Jepun, Kenzo Takada, dilaporkan telah meninggal dunia pada usia 81 tahun, akibat komplikasi yang berkaitan dengan Covid-19.

Terkenal dengan rekaan grafiknya yang terang serta cetakan yang diilhami dengan elemen hutan serta penggunaan warna eklektik, beliau adalah pereka Jepun pertama yang mendapat perhatian di kancah fesyen Paris.

Menurut BBC, beliau telah menetap di Perancis sejak tahun 1960-an dan menghabiskan sisa hidup serta kerjayanya di sana.

Dengan ‘hampir 8,000 reka bentuknya’, pereka Jepun itu ‘tidak pernah berhenti meraikan fesyen serta seni hidup’, kata jurucakapnya.

Gambar: Catwalk Yourself

Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo menerusi ucapan takziah kepadanya di Twitter menyatakan: Pereka berbakat besar, beliau telah memberikan warna serta menerangi tempat mereka dalam bidang fesyen. Paris kini sedang berkabung atas pemergian salah seorang anaknya.”

“Saya peminat jenama ini sejak dari tahun 1970-an ketika ianya baru sahaja bermula. Saya rasa beliau adalah pereka yang hebat,” laman web berita fesyen WWD.com memetik Sidney Toledano, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan jenama mewah LVMH yang memili jenama Kenzo.

Ramai pengguna Twitter Jepun turut mengucapkan takziah di platform tersebut, beberapa di antaranya menyatakan bahawa produk dari jenama mewah pertama mereka adalah dari Kenzo.

“Dompet pertama yang saya miliki adalah dari Kenzo,” kata seorang pengguna Twitter. “Walaupun ianya adalah perkara kecil – saya akan selalu mengingatinya. R.I.P.”

“Saya memiliki pakaian Kenzo yang diturunkan daripada ibu saya,” kata yang lain. “Saya masih memakainya.”

Beberapa warganet yang lain juga turut menyatakan bahawa mereka memiliki sapu tangan Kenzo – aksesori yang masih popular di Jepun.

Dilahirkan pada tahun 1939 di Himeji, Kenzo Takada telah datang ke Perancis pada tahun 1965 dengan menaiki kapal dan menetap di Paris.

Gambar: BBC

Beliau telah mengasaskan jenama terkenal antarabangsa dengan nama pertamanya pada tahun 1970-an. Beliau telah melancarkan pakaian lelaki pada tahun 1983, dan seterusnya pada tahun 1980-an lebih banyak pakaian sukan kasual Kenzo Jeans dan Kenzo Jungle dihasilkan.

Beliau telah menjual jenama pakaiannya kepada kumpulan jenama mewah LVMH pada tahun 1983 dan bersara dari dunia fesyen enam tahun kemudian.

Sumber: BBC

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa