Gitaris lagenda, Eddie Van Halen yang juga pengasas bersama band popular Van Halen dilaporkan telah meninggal dunia akibat kanser awal pagi tadi.
Ahli muzik berdarah Belanda-Amerika itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 65 tahun setelah bertarung nyawa melawan komplikasi kanser paru-paru yang dialaminya.
Difahamkan, mendiang meninggal dunia di St. John’s Hospital di Santa Monica di sisi bekas isteri, Valerie Bertinelli dan anak mereka, Wolfgang serta isteri keduanya, Janie Liszewski dan adiknya yang juga drummer, Alex.
Memetik laporan TMZ, ketika 72 jam terakhir sebelum ‘pergi’, keadaan kesihatan Eddie sangat merosot teruk di mana doktor yang merawatnya memberitahu sel kanser di paru-parunya telah berjangkit ke otak dan beberapa organ lain.
Sejurus kematiannya itu, bekas isterinya Valerie Bertinelli meluahkan rasa sedih melalui satu hantaran ringkas di Twitter.
“40 tahun lalu kehidupan saya berubah selamanya sejak saya bertemu awak. Awak berikan saya satu-satunya cahaya sebenar dalam hidup saya, iaitu anak kita Wolfgang.
Dengan semua rawatan yang mencabar untuk kanser paru-paru, anda kekal dengan semangat yang hebat dan senyuman yang ‘menipu’.
Saya ialah Wolfie yang sangat beruntung dan saya dapat menahan anda ketika di saat-saat akhir anda. Saya akan bertemu awak semula di kehidupan akan datang saya, sayangku,” kata luahan tersebut.
— Valerie Bertinelli (@Wolfiesmom) October 6, 2020
Sementara itu, anak mereka, Wolfgang turut meluahkan rasa sedih yang terbuku di hati ke laman Instagram atas pemergian ayahnya.
“Saya tidak percaya yang saya terpaksa menulis perkara ini. Tapi ayah saya, Edward Lodewijk Van Halen telah tewas dalam pertempuran panjangnya dengan kanser pada pagi ini.
Dia ialah ayah terbaik yang saya pernah ada. Setiap momen yang saya kongsikan dengannya di pentas atau luar adalah anugerah.
Hati saya hancur dan saya tidak tahu bila saya akan pulih daripada kehilangan ini. Saya terlalu sayangkan anda, Pop,” katanya menerusi kapsyen gambar mendiang.
Sumber: BBC, TMZ, Twitter, Instagram