Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

Lelaki Melecur Teruk Tanggung Derita, Terpaksa Tunggu Ambulans 2 Jam Sebelum Dibawa Ke Hospital

Seorang lelaki di Denbighshire, UK dilaporkan terpaksa menanggung derita terbakar selama sekitar dua jam sehingga ambulan tiba.

Menurut Daily Mail, Chris Williams, 40, sedang membaiki kereta di sebuah bengkel di rumahnya sebelum kenderaan itu terbakar secara tiba-tiba.

Isterinya, Catherine Stewart dikatakan sempat menarik suaminya ke tempat selamat, namun mereka terpaksa membuat panggilan kecemasan berkali-kali sehingga pasukan paramedik tiba.

Mangsa dikatakan mengalami lecur sekitar 45 peratus hingga menyebabkan sebahagian kulitnya tertanggal akibat tragedi tersebut.

Ujar ibu mangsa, Philomene Williams, anaknya terpaksa menunggu selama dua jam sebelum ketibaan ambulans.

“Kulitnya terkopak, dia tidak dapat bernafas dan tiada ubat penahan sakit,”  katanya.

“Catherine sempat menariknya keluar dari api dan menelefon 999 pada 2.50 petang, tetapi hampir sekitar tiga jam sebelum dia benar-benar dapat ke hospital dan mendapatkan rawatan,” tambahnya.

Susulan itu, keluarga mangsa ingin penyedia perkhidmatan itu bertanggungjawab.

Menceritakan semula kejadian pada 8 September lalu, Catherina berkata, mangsa sedang berada di bawah sebuah kereta ketika sesuatu menghasilkan percikan api, dan menyebabkan kenderaan itu terbakar.

“Saya sempat menariknya yang telah terbakar teruk dan membuat panggilan kecemasan.

“Saya hanya mampu melihat api memakan segalanya di bangsal itu termasuk beberapa kenderaan, peralatannya dan bumbung bangsal,” ujar wanita itu.

Akibat kejadian berkenaan, Chris dimasukkan ke unit rawatan rapi dan mempunyai peluang 50-50 untuk hidup. Mangsa kini dilaporkan stabil dan tidak memerlukan bantuan pernafasan, pun begitu masih memerlukan pemantauan di ICU.

Chris juga terpaksa menjalani pembedahan pemindahan kulit untuk membaiki kecederaan teruk pada lengan dan tangannya.

Berikutan kejadian itu, Wales Ambulance Service meminta maaf atas keterlewatan yang disifatkan sebagai tidak boleh diterima itu. Badan itu dikatakan mempunyai dua stesen ambulans dalam lingkungan lima batu daripada lokasi kejadian.

Sumber: Daily Mail

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.