Siakap Keli

APMM Kelantan Rampas Minyak Diesel, Dua Bot Bernilai RM 2.39 Juta

PASIR PUTEH, 8 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan merampas sejumlah 230,000 liter minyak diesel dan dua bot bernilai RM2.39 juta yang dipercayai milik rakyat Thailand, semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata pihaknya juga telah menahan 15 kru warga Thailand termasuk seorang wanita, dua tekong dan seorang rakyat Indonesia, masing-masing berumur 24 hingga 59 tahun.

“Mereka ditahan di sekitar 110 batu nautika dari muara Tok Bali antara pukul 11.20 pagi dan 11.45 pagi pagi dan dibawa ke Ibu Pejabat APMM, Tok Bali,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat APMM, Tok Bali, di sini, hari ini.

Muhd Nur Syam Asmawie berkata kesemua yang ditahan itu menyamar sebagai nelayan tempatan dan bertindak agresif ketika cuba melarikan diri ke perairan Vietnam selepas bot APMM mendekati kedua-dua bot yang dinaiki mereka.

“Ketangkasan anggota APMM yang diketuai Leftenan Komander Maritim Mohd Sopian Mohd Nasir menerusi Kapal Maritim (KM) Tok Bali berjaya memintas dan menahan kedua-dua bot berkenaan,” katanya.

Katanya, kedua-dua bot berkenaan bertindak sebagai pembekal minyak diesel kepada bot nelayan Vietnam yang beroperasi di Laut Cina Selatan dan APMM akan membuat siasatan lanjut berhubung bekalan api itu diperoleh sama ada daripada subsidi kerajaan atau sebaliknya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 361 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang boleh didenda tidak kurang RM200,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, sekiranya disabitkan kesalahan.

“Tangkapan itu merupakan yang ke-53 dan 54 manakala jumlah kru yang ditahan pada keseluruhannya adalah 610 orang,” tambahnya.

Beliau turut berkata APMM Kelantan akan terus komited bagi memastikan keadaan perairan Kelantan terpelihara daripada sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.