Siakap Keli
polis rasuah
Gambar: Google

Dua Pegawai Polis Dihadapkan Ke Mahkamah Atas Tuduhan Rasuah 5 Tahun Lalu

SEREMBAN, 8 Okt (Bernama) — Dua pegawai polis berpangkat inspektor hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,500 pada 2015.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban didakwa menerima suapan daripada Tang Yee Choy, 37, sebagai dorongan untuk tidak meneruskan siasatan ke atas lelaki itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu.

Bagi pertuduhan pilihan pula, Mohd Ramdzan dan Chang didakwa menerima wang tunai berjumlah RM3,500 daripada individu sama untuk tidak meneruskan siasatan kes penipuan ke atas lelaki itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lif tingkat 1, Kompleks Terminal One Plaza, 20B Jalan Lintang, Seremban pada 5.30 petang, 3 Ogos 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Negeri Sembilan, Zainab Yahaya manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hassan dan P. Purshotaman.

Terdahulu, Hanif yang mewakili Mohd Ramdzan memohon mahkamah membenarkan jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan empat orang anak yang masih kecil manakala Purshotaman yang mewakili Chang juga memohon ikat jamin yang sama memandangkan anak guamnya perlu menanggung isteri serta ibu dan bapanya.

Hakim Surita Budin memerintahkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 11 Nov.

Sebagai syarat tambahan, kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.