Siakap Keli
Gambar: Daily Star

Seorang Bapa Dengan Dua Isteri Dan 19 Orang Anak Namakan Bayi Terbarunya Dengan Maksud ‘Enough’

Seorang lelaki yang mempunyai dua orang isteri dan 19 anak telah menamakan bayi terbarunya dengan nama Yeter – yang bermaksud ‘cukup’, lapor Daily Star.

Zeher Geher, yang tinggal di bandar Diyarbakir, Turki mempunyai 19 orang anak hasil perkahwinannya dengan dua orang isterinya.

Walaupun dia dan isterinya sangat menyayangi keluarga mereka, dia mengaku bahawa di musim pandemik COVID-19 ini, dia sedang mengalami kesukaran untuk memenuhi keperluan keluarganya kerana tidak dapat mencari pekerjaan.

Ibu kepada anak-anaknya, Dilber dan Ikramiye Gezer, kedua-duanya menyatakan bahawa mereka gembira dengan rumah tangga mereka walaupun pada awalnya mereka mengakui bahawa sukar untuk berkongsi kasih, tetapi sekarang sudah seperti adik beradik malah saling bantu membantu di rumah yang sesak itu.

Isteri pertama Zeher iaitu Dilber, ibu kepada 10 orang anak berkata: “Pada mulanya saya cemburu dengan isteri muda itu dan walaupun sedikit sedih, namun kini kami seperti adik beradik.

“Dia mempunyai anak dan begitu juga saya. Anak-anaknya adalah anak saya dan anak saya pula adalah anaknya juga.

Masalah kewangan yang kerap dialami mereka sering kali menyebabkan makanan di atas meja mereka tidak mencukupi, ia juga bermaksud bahawa empat daripada kanak-kanak perempuan dan seorang anak lelaki mereka tidak dapat bersekolah, dan keluarga mereka juga terpaksa memberhentikan persekolahan salah seorang anak perempuan mereka yang berumur 7 tahun.

Zeher menyatakan bahawa dia berharap untuk dapat menyara keluarganya sendiri, namun telah kehilangan pekerjaannya kerana wabak pandemik COVID-19.

Tambahnya: “Sekiranya saya tahu ini akan terjadi, saya takkan mempunyai anak yang ramai.”

19 kanak-kanak itu, yang didakwa sering kali tidak cukup makan, berharap agar pihak berkuasa tempatan dapat menghulurkan bantuan.

Zeher berkata: “Saya pohon kepada negara, perdana menteri, dan presiden. Kami memerlukan mereka untuk membantu kami. Kami sedang hidup dalam kesusahan, jika kami tidak mendapat bantuan secepat mungkin, kami semua akan mati kelaparan.”

Sumber: Daily Star

Aqmal Ezany

I write what is right