Siakap Keli
FOTO:KKM

TERKINI: 354 Kes Positif Baharu Direkodkan Hari Ini, 352 Kes Adalah Kes Penularan Tempatan

Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan bahawa terdapat 354 kes baharu jangkitan Covid-19 setakat hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 14,722 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 3,863 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Sehingga 9 Oktober 2020 pukul 12:00 tengah hari, KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat 188 kes yang telah pulih Covid-19. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 10,707 kes.

Perkara ini disampaikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi sidang media harian perkembangan Covdi-19 di Malaysia.

Pecahan utama jumlah kes hari ini, Sabah mencatat 274 kes (77.4%). Ini susulan lebih banyak aktiviti saringan dijalankan di lapangan, terutama di tujuh daerah PKPD. Kedah hanya mencatat 10 kes (2.82%) susulan kejayaan kawalan bagi Kluster Tembok di penjara-penjara.

Negeri-negeri Lembah Klang pula merangkumi 10.2%. Selangor mencatat 24 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 10 kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya 2 kes.

KKM memaklumkan bahawa daripada 354 kes baharu yang dilaporkan, dua (2) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan warganegara Malaysia yang mengembara dari negara:

• India: Satu (1) kes dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

• Oman: Satu (1) kes dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Daripada 352 kes penularan di dalam negara, 332 kes adalah warganegara Malaysia dan 20 kes adalah bukan warganegara. Daripada 352 kes penularan di dalam negara, 23 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekaligus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 sebanyak 324 kes.

Sehingga kini, terdapat 68 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 25 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sumber: KKM

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang