Siakap Keli
Gambar: Pledge Times ,Inquirer.net

Mayat ‘Terbaring’ Sekitar Trek, Sekurang-kurangnya 18 Orang Dilapor Maut Dalam Kejadian Bas Dan Kereta Api ‘Bertembung’

18 terbunuh manakala 40 yang lain cedera selepas sebuah bas bertembung dengan sebuah kereta api di wilayah Chachoengsao pada Ahad, kata para pegawai, setelah sebelumnya menyatakan 20 orang telah meninggal dunia.

Insiden itu berlaku kira-kira jam 8.05 pagi di persimpangan kereta api berhampiran stesen keretapi Khlong Kwaeng Klan, sekitar 50 kilometer ke timur Bangkok, ketika penumpang bas sedang dalam perjalanan ke sebuah kuil untuk upacara keagamaan, kata Ketua Polis daerah tersebut.

Gabenor wilayah Maitree Tritilanod sebelumnya memberitahu wartawan bahawa setakat ini sekitar 29 orang telah disahkan tercedera, namun jumlahnya telah dikemas kini kepada 44 orang kesemuanya kecuali 13 orang yang telah discaj daripada hospital awal tengah hari.

Rakaman yang dikongsi oleh sebuah jabatan kerajaan menunjukkan bas tersebut telah bergerak dari sebuah jalan memasuki trek kereta api sebelum dirempuh.

Gambar awal daripada pasukan penyelamat memaparkan logam dan serpihan, dengan mayat bertempiaran di kawasan trek kereta api serta barangan peribadi penumpang telah tersebar di internet.

Bas tersebut telah terbalik, bahagian atasnya pula tercabut, dan pasukan penyelamat menyatakan bahawa sebuah kren diperlukan untuk mengangkatnya.

Mangsa yang tercedera telah dihantar ke hospital Ban Pho, Phutthasothorn dan Kasemrat di daerah Muang.

Kereta api kargo No 852 dilaporkan sedang bergerak melalui stesen keretapi Laem Chabang dan Hua Takhae sebelum merempuh sebuah bas di persimpangan kereta api di tambon Bang Toey di daerah Muang Chachoensao.

Saksi kejadian menyatakan bahawa lintasan laluan kereta api itu tidak mempunyai penghadang, namun mereka terdengar bunyi hon daripada kereta api tersebut sejurus sebelum nahas yang mengerikan itu terjadi.

Bas tersebut dilaporkan membawa kira-kira 60 orang penumpang daripada daerah Samut Prakan di selatan Bangkok untuk upacara keagamaan tahunan.

Pihak polis masih lagi sedang menyiasat punca pelanggaran tersebut, lapor Bernama.

Sumber: Bangkok Post

Aqmal Ezany

I write what is right