Siakap Keli

PKPB Akan Dilaksanakan Di Seluruh Selangor, Kuala Lumpur & Putrajaya, Berkuatkuasa 14 Oktober 2020

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) — Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 12.01 tengah malam 14 Okt hingga 27 Okt ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan COVID-19 seperti di Klang, Daerah Petaling serta Gombak.

“Pergerakan keluar masuk, merentas daerah adalah tidak dibenarkan. Bagaimanapun, bagi pekerja yang perlu merentas daerah, perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan,” katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan.

Katanya, semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi ditutup, dan hanya dua orang sahaja daripada satu rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

Ismail Sabri berkata masjid, surau dan rumah ibadat bukan Islam turut ditutup, di samping semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya, serta majlis perkahwinan dan pertunangan juga tidak dibenarkan.

Sumber: Sidang Media MKN

Baca juga artikel ini untuk lebih menarik

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang