KUALA LUMPUR, 12 Okt – Semua perkhidmatan kerajaan tetap beroperasi dengan penjawat awam mengadaptasi sistem penggiliran dan bekerja dari rumah (BDR) mengikut keperluan dengan mengambil kira kebajikan mereka.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, setiap ketua jabatan dikehendaki untuk mematuhi Surat Edaran Jabatan Perkhidmatan Awam Rujukan JPA.SARAAN(S)256/6/31JLD6(6) bertarikh 2 Mei 2020.
“Ketua jabatan juga hendaklah menggunakan kebijaksanaan dan pertimbangan sewajarnya dalam perkara ini di samping memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan dipatuhi sepenuhnya.
“Pelaksanaan ini turut digunakan bagi mana-mana kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, penggunaan aplikasi atas talian diberi keutamaan bagi meminimumkan perkhidmatan secara bersemuka seperti perkhidmatan kaunter dan mesyuarat, selari dengan amalan penjarakan fizikal.
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan SOP secara terperinci dalam masa terdekat,” tambah kenyataan itu lagi.
Hari ini MKN memutuskan untuk melaksanakan PKPB di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur dan WP Putrajaya berkuatkuasa 14 hingga 27 Oktober ini.
Pengoperasian Perkhidmatan Kerajaan semasa PKPB
Posted by Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara on Monday, October 12, 2020
Sumber: Ketua Setiausaha Negara