Siakap Keli
Gambar: Google

Semua Institusi Pendidikan KPM Termasuk Sekolah Di Sabah, Selangor, KL & Putrajaya Ditutup Mulai 13 & 14 Oktober, Sesi Kelas Berjalan Di Rumah

PUTRAJAYA, 12 Okt – Semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) di Sabah akan ditutup bermula 13 hingga 26 Oktober.

KPM menerusi satu kenyataan memaklumkan, penutupan tersebut turut melibatkan tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, kolej vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Keputusan ini melibatkan sebanyak 1,336 buah institusi dengan sejumlah 511,349 murid dan pelajar termasuk institusi yang telah ditutup di daerah-daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Sementara itu, semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM di Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur dan Putrajaya pula akan ditutup mulai 14 hingga 27 Oktober ini.

“Penutupan ini akan melibatkan 1,088 institusi pendidikan termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan IPG.

“Ia juga melibatkan sejumlah 935,984 murid dan pelajar di Selangor termasuk sekolah-sekolah di mukim Klang dan Petaling yang telah ditutup lebih awal,” tambah kenyataan itu lagi.

Selain itu, penutupan tersebut juga melibatkan 344 institusi pendidikan serta sejumlah 254,639 murid dan pelajar di WP Kuala Lumpur, serta 29 institusi pendidikan dengan sejumlah 31,917 murid dan pelajar di WP Putrajaya.

Dalam masa sama, ia juga turut melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM yang mempunyai asrama.

“Ibu bapa atau penjaga boleh mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.

“Bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau yang ingin terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

“Keperluan makan dan minum sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak institusi pendidikan (berkenaan),” jelasnya.

Dalam pada itu, setiap pengambilan murid atau pelajar dari asrama oleh ibu bapa ketika tempoh PKPB perlu dimaklumkan kepada pihak institusi dan surat akan dikeluarkan sebagai rujukan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka perlu merentas daerah bagi tujuan tersebut.

“Bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

“Pentadbir institusi pendidikan juga diarah untuk memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) dilaksanakan di rumah,” tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu, manual P&P di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.kpm.moe.gov.my. 

KENYATAAN MEDIAPENUTUPAN INSTITUSI PENDIDIKAN DI SELURUH NEGERI SABAH, SELANGOR, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR DAN WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA

Posted by Kementerian Pendidikan Malaysia on Monday, October 12, 2020

Sumber: KPM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.