Siakap Keli

Warga Emas Rentung Dalam Kebakaran Di Teluk Intan

TELUK INTAN, 12 Okt – Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah di Jalan Selat di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan Mohd Ismail Mohd Yunus berkata mangsa Tan Ah Lang@Tan Ah Leng, 78, yang dipercayai terperangkap dalam kebakaran tersebut ditemukan di atas katil di salah sebuah rumah berkenaan.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 4.42 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Teluk Intan dan Hutan Melintang dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian, mendapati kebakaran melibatkan dua buah rumah iaitu sebuah rumah berkeluasan 30×25 kaki persegi dianggarkan 90 peratus terbakar manakala sebuah lagi rumah berkeluasan 20×70 kaki persegi terbakar hanya 10 peratus.

“Kira-kira pukul 6.30 pagi, kita menemui mayat rentung seorang lelaki di bahagian tengah rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang