Siakap Keli
Kredit gambar: BERNAMA

Muat Turun Borang Permit Pergerakan PKPB, Hanya Untuk 4 Kategori Individu Ini Bagi Merentas Negeri

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan borang permit pergerakan awam ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur dan Putrajaya berlangsung.

PDRM menerusi satu kenyataan memaklumkan, permit tersebut hanya boleh digunakan oleh empat kategori individu seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Pertama, individu dari kawasan yang sedang melaksanakan PKPB yang ingin melakukan pergerakan ke negeri lain atas sebab-sebab kecemasan (sakit dan kematian).

“Kedua, individu yang hendak merentasi kawasan yang sedang melaksanakan PKPB atas sebab-sebab kecemasan.

“Seterusnya, individu dari luar yang ingin memasuki ke kawasan PKPB atas sebab kecemasan dan keempat, individu yang menggunakan pergerakan udara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2 dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Selain itu, contoh situasi bagi kategori kedua dan ketiga turut dinyatakan sebagai rujukan umum.

“Bagi situasi kategori 2, individu dari Johor yang hendak menuju ke Pulau Pinang dan terpaksa merentasi Selangor atas sebab kecemasan, hendaklah mengisi dan menghantar borang permit tersebut di balai polis berhampiran dengan tempat kediaman di Johor sebelum membuat pergerakan.

“(Manakala) bagi situasi kategori 3, individu dari Melaka yang hendak memasuki WP Putrajaya kerana berlaku kecemasan, hendaklah mengisi dan menghantar borang permit tersebut di balai polis berhampiran dengan tempat kediaman di Melaka sebelum membuat pergerakan.

“Bagaimanapun, sekiranya individu yang sedang membuat pergerakan tersebut terlupa untuk mengisi borang permit pada separuh perjalanan, mereka boleh mengisi dan menghantarnya ke mana-mana balai polis terdekat sebelum merentasi atau memasuki sekatan jalan raya (SJR) di kawasan PKPB,” tambah kenyataan itu lagi.

Borang permit tersebut boleh dimuat turun di pautan INI atau menerusi imej yang dilampirkan atau boleh diperolehi di balai-balai polis berdekatan sebelum dihantar semula ke kaunter pertanyaan dalam satu salinan sahaja.

“Perlu diingatkan bahawa hanya dua orang sahaja dibenarkan dalam setiap pergerakan, manakala pekerja-pekerja pula dibenarkan untuk merentas daerah atau negeri dengan syarat mempunyai pas pekerja yang sah atau surat kebenaran daripada majikan.

“Bagi pekerja dalam daerah yang sama, mereka tidak perlu mengemukakan surat majikan atau pas pekerja,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang awam diseru untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan MKN sepanjang PKPB berkuatkuasa.

Mengimbas kembali, MKN melalui Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pelaksanaan PKPB di ketiga-tiga wilayah berkenaan berkuatkuasa mulai tengah malam ini sehingga 27 Oktober kelak.

Kredit gambar: PDRM

Sumber: Facebook Rasmi Polis Diraja Malaysia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'