Siakap Keli

“Dahi Dia Ada Kaca Besar Terpacak,” Ibu Ini Kongsi Detik ‘Hitam’, Lampu Pendaflour Jatuh Atas Kepala Anak

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Ramai ibu bapa yang sudah peka dengan ‘childproof’ di rumah. Namun, dalam berhati-hati masih juga berlaku kecelakaan di luar jangkaan kita. Siapa sangka, pengalaman dulu boleh dijadikan sebagai pengajaran dan teladan kepada ibu bapa di luar sana.

Seperti perkongsian cerita daripada laman Facebook Nadiah Hashim, seorang ibu mengenai anaknya yang kini usia 4 tahun pernah dihempap kaca lampu kalimantan di rumahnya. Kejadian ini mengejutkan seluruh keluarga kecil ini, mereka tidak menyangka kejadian seperti ini berlaku kepada anak kesayangan mereka.

Nasib menyebelahi mereka, puteri kesayangan mereka tidak mengalami kecederaan dalam, selepas beberapa jahitan, anak kecil ini mula aktif.

Toleh ke belakang sekejap sebab nak capai baju tidur dia. Masa toleh tu tiba-tiba ada bunyi benda hentam kuat sangat…

Assalamualaikum. Hari ini saya bukanlah nak cerita anak sepahkan apa. Sempena masuk bulan Oktober, saya nak mengimbau mimpi ngeri 17 Oktober 2017.

Waktu tu, Hana berusia 11 bulan. Kami memang tidur bentang tilam di ruang tamu (rumah sewa) atas faktor takut anak jatuh katil. Petang, selepas mandikan Hana, saya baringkan dia. Toleh ke belakang sekejap sebab nak capai baju tidur dia. Masa toleh tu tiba-tiba ada bunyi benda hentam kuat sangat. Saya tolehlah ke dapur, fikir agaknya ada lori hentam apa-apa kot. Bila toleh ke depan rupanya casing lampu hempap Hana.

Kaca bersepai sekeliling. Casing lampu tu bengkok. Sebelum ni lampu elok je melekat di siling, takde tanda-tanda nak jatuh. Hana terdiam. Saya terus angkat, terkejut tengok dahi dia ada kaca besar terpacak, serpihan halus merata kat atas kepala anak, muka, dalam telinga. Darah keluar macam air. Saya dah panik menjerit panggil suami. Terus balut Hana pakai tuala je, letak lampin atas kepala.

Perjalan ke hospital, sempatlah saya keluarkan serpihan kaca halus dari telinga, mata, muka. Sampai hospital, doktor cuci kepala, balut dahi. Kena mula puasa pukul 10 malam sebab esok pagi Hana akan masuk Operation Theatre.

Kesian Hana sepanjang malam menangis haus susu. Esoknya dalam OT saya teman Hana masa doktor bagi gas. Bila doktor minta keluar, sayu hati tengok anak terkulai pengsan.

Bila dah siap, leganya hati. Doktor tunjuk serpihan kaca yang terbenam dalam dahi. Besar juga. Ada 3 kaca. Alhamdulillah sepanjang recovery tu Hana kuat. Bulan depan masuk umurnya 4 tahun. Doakan Hana sentiasa sihat ye uncles aunties.

Pengajaran yang saya dapat, usahalah sebaik mungkin untuk mencegah apa-apa kemalangan daripada terjadi. Tapi sekiranya Allah takdirkan, terima dengan sabar, redha, dan pasti ada hikmahnya. Kejadian ini buat saya lebih berhati-hati dan lebih hargai anak-anak kerana entah bila Allah boleh ambil mereka. Mereka hanyalah pinjaman. Terima kasih kerana sudi membaca.

 

Sumber: Nadiah Hashim

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang