Siakap Keli

11 Kilang Kitar Semula Plastik Tidak Berlesen Beroperasi Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 15 Okt (Bernama) — Sebanyak 11 kilang kitar semula plastik tidak berlesen di rekodkan beroperasi di Pulau Pinang, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Jagdeep Singh Deo.

Beliau berkata sebanyak 102 kilang kitar semula plastik dikenal pasti beroperasi di negeri ini dengan kesemuanya terletak di Seberang Perai.

“Sebanyak 91 kilang kitar semula plastik adalah berlesen manakala 11 lagi tidak berlesen. Di kawasan Seberang Perai Utara sebanyak 34 kilang berlesen dan satu tidak berlesen, di daerah Seberang Perai Tengah 36 berlesen, tujuh tidak berlesen manakala di Seberang Perai Selatan sebanyak 21 kilang berlesen manakala tiga tidak berlesen,” katanya semasa menjawab soalan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubok) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Lee ingin tahu bilangan kilang kitar semula plastik berlesen dan tidak berlesen mengikut daerah serta  jumlah penguatkuasaan yang telah dijalankan ke atas kilang-kilang yang beroperasi secara haram serta membakar secara terbuka dan kekangan yang dihadapi oleh pihak penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas kilang haram berkenaan.

Jagdeep berkata sebanyak 34 operasi penguatkuasaan telah dijalankan sehingga September lepas dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengeluarkan sebanyak 16 notis dan 11 tawaran kompaun bagi ketidakpatuhan yang dilakukan oleh kilang-kilang terbabit.

Beliau berkata antara kekangan yang dihadapi oleh pihak berkuasa atau agensi dalam menjalankan tindakan penguatkuasaan ke atas kilang haram ialah kesukaran mendapatkan maklumat lengkap berhubung syarikat yang menjalankan aktiviti operasi kilang bagi tujuan dokumentasi untuk tindakan undang-undang di mahkamah.

“Selain itu, kekangan yang dihadapi juga adalah kesukaran mendapatkan pembuktian aktiviti atau kesalahan yang sedang dijalankan, proses tindakan mahkamah yang mengambil masa panjang, infrastruktur dan pembangunan kilang kitar semula yang tidak mengikut atau lulus kebenaran merancang juga menjadi kekangan kepada Jabatan Alam Sekitar dalam menjalankan penguatkuasaan,” katanya.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat itu berkata tindakan penguatkuasaan yang dijalankan secara berasingan oleh semua jabatan atau agensi penguatkuasaan berikutan senarai peruntukan undang-undang yang berbeza dan tindakan penguatkuasaan tidak menyeluruh juga menjadi antara faktor kekangan.

— BERNAMA

" "