Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Dua Sekolah Diarah Tutup, Dua Pelajar Positif COVID-19

LABUAN, 14 Okt (Bernama) — Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai (SMK Pantai) dan Sekolah Kebangsaan Kerupang (SK Kerupang) di sini diarah tutup selama tujuh hari selepas seorang pelajar tingkatan lima dan seorang murid diuji positif COVID-19 hari ini, sekolah ketiga di pulau itu diarah tutup selepas SMK Mutiara, Khamis lepas.

Mengesahkan kepada Bernama, Pengarah Pendidikan Labuan Khaziyati Osman berkata ia adalah prerogatif Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengeluarkan penutupan selepas mendapati dua pelajar itu positif COVID-19.

Pengetua SMK Pantai, Norazita Md Noor@Shamsuri dalam mesejnya kepada ibu bapa hari ini berkata ujian saringan akan dijalankan ke atas pelajar di sekolah itu, terutama mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pelajar terbabit.

“Semua pelajar SMK Pantai menjalani ujian saringan COVID-19 bermula 1 tengah hari tadi sebagai sebahagian daripada usaha sekolah untuk mengawal jangkitan daripada merebak.

“Pelajar yang dikeluarkan ANNEX 14b perlu menjalani kuarantin di rumah…oleh itu sekolah akan ditutup bermula hari ini (14 Okt) hingga 20 Okt,” katanya melalui pesanan kepada ibu bapa hari ini.

Bernama menghubungi pihak sekolah dan diberitahu ujian swab COVID-19 hanya akan dijalankan ke atas pelajar yang mempunyai kontak rapat dengan pelajar terbabit dan mereka yang tidak hadir ke sekolah semalam, tidak perlu berbuat demikian.

“Setakat yang kami faham, pelajar yang diuji positif  itu tidak hadir ke sekolah sejak beberapa hari lalu,” kata seorang petugas yang enggan dikenali.

SK Kerupang juga diarah tutup selama tujuh hari bermula hari ini.

Guru Besar SK Kerupang, Aini Salleh dalam mesej ringkasnya kepada ibu bapa pada 12.40 tengah hari tadi berkata pelajar di sekolah itu sedang menjalani ujian saringan COVID-19 oleh itu sekolah berkenaan akan ditutup selama seminggu.

Penutupan SMK Mutiara (sejak 8 Okt) telah dilanjutkan selama 14 hari, selepas seorang lagi pelajar di sekolah itu diuji positif tiga hari lalu dan sekolah itu giat laksanakan kerja-kerja sanitasi.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story