Siakap Keli

Empat Lagi Kluster Baharu COVID-19 Dikesan Termasuk Satu Di Putrajaya

PUTRAJAYA, 15 Okt – Sebanyak empat lagi kluster baharu jangkitan COVID-19 dikenal pasti hari ini, umum Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua pengarahnya, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, satu kluster dikesan di Sabah, satu di Negeri Sembilan dan Putrajaya, satu di Perak dan satu lagi di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.

Kluster pertama iaitu Kluster Olive ini melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor dan daerah Kota Marudu dan Penampang, Sabah. Kes indeks adalah kes ke-11,489 di Selangor, hasil saringan selepas pulang dari kawasan berisiko tinggi di Sabah.

Kes dikesan positif pada 2 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor. Sebanyak 16 kontak rapat dikenal pasti.

Kluster kedua iaitu Kluster Bah Pasir di daerah Port Dickson, Negeri Sembilan dan WP Putrajaya. Kes indeks merupakan kes ke-14,329 dikesan positif hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi di Sabah.

Kes dikesan positif pada 8 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. Hasil saringan kontak rapat, empat dikesan positif. Sehingga 15 Oktober, 82 individu disaring, lima dikesan positif, 74 negatif dan tiga menunggu keputusan.

Kluster ketiga, Kluster Bah Pengkalan di daerah Ulu Perak, Perak. Kes indeks merupakan kes ke-14,345 dan 14,346 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi di Sabah.

Kes dikesan positif pada 8 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Saringan kontak rapat mengenal pasti lima lagi kes. Hingga 15 Okt, 330 individu telah disaring, lima dikesan positif, 47 negatif dan 277 menunggu keputusan.

Manakala kluster terakhir iaitu Kluster Saguking di daerah Labuan, WP Labuan. Kes indeks merupakan kes ke-15,657, dikesan positif hasil saringan kemasukan ke Hospital Labuan pada 11 Okt.

Saringan kontak rapat mengenal pasti empat lagi kes positif. Hingga 15 Okt, 43 individu telah disaring, lima dikesan positif, tiga negatif dan 35 menunggu keputusan.

Sumber: KKM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'