Siakap Keli

JPJ Kedah Kutip Lebih RM2.2 Juta Bidaan Plat “KEY”

ALOR SETAR, 15 Okt — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengutip hasil bidaan lebih RM2.2 juta bagi siri nombor pendaftaran KEY dalam tempoh lima hari bermula 9 Okt lepas.

Pengarah JPJ Kedah, Isma Suhaimi Sharif berkata KEY 5 menjadi nombor pendaftaran paling mahal dibida melalui pelaksanaan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) dengan bidaan tertinggi bernilai RM88,000.

“Bidaan yang melibatkan seramai 2,765 pembida itu berjaya mengutip hasil bidaan berjumlah RM2.209 juta. Bagi nombor pendaftaran KEW sebelum ini berjaya mengutip hasil bidaan sebanyak RM980,862 manakala bagi KEX lebih RM1.3 juta berjaya dikutip.

“JPJeBid ini menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat. Pembida boleh mengetahui kedudukan bidaan secara langsung. Orang awam yang berminat untuk membida boleh mengakses sistem JPJeBid secara dalam talian atau menghubungi talian 04-7404888,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata dari 1 Sept lepas hingga hari ini, sebanyak 1,081 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya menerusi Operasi Khas JPJ Kedah bertujuan  mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya selain membudayakan pemanduan berhemah.

“Sasaran operasi adalah pengguna motosikal, kereta, kenderaan perkhidmatan awam dan kenderaan barangan. Sebanyak 5,314 kenderaan telah diperiksa dan antara kesalahan yang dikesan melibatkan muatan bahaya, cermin gelap dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

“Selain itu, JPJ Kedah akan mengadakan tawaran sebut harga kenderaan lucut hak sebanyak 62 kenderaan bermula 18 hingga 25 Okt ini. Kenderaan ini boleh dilihat pada 20 dan 21 Okt di kandang sita JPJ Alor Setar, JPJ Kulim dan Stesen Penguatkuasa Kuala Ketil,” katanya.

— BERNAMA

 

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang