Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Bernama

Kakitangan Ibu Pejabat Affin Bank Disahkan Positif COVID-19

KUALA LUMPUR, 16 Okt — Affin Bank Bhd mengesahkan seorang kakitangannya di ibu pejabat di sini disahkan positif COVID-19 dan sedang dirawat di sebuah hospital.

Bank itu berkata, ia sedang melakukan pengesanan kontak ke atas kakitangan dan pihak-pihak lain yang mungkin berhubung rapat dengan kakitangan terbabit di Menara Affin, Jalan Raja Chulan.

“Kakitangan yang ada bersentuhan secara langsung dengan kakitangan terbabit akan disaring dan diperiksa bagi COVID-19. Semua kakitangan di aras pejabat yang terlibat telah diarahkan bekerja dari rumah.

“Langkah berjaga-jaga telah diambil oleh pihak bank untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada kakitangan lain dan pelanggan,” kata Affin Bank dalam satu kenyataan hari ini.

“Ibu pejabat Affin Bank akan ditutup bagi kerja-kerja sanitasi dan dibuka semula pada Isnin,” kata bank itu sambil menambah ia mengambil langkh-langkah yang perlu untuk memastikan kesihatan dan keselamatan kakitangan dan pelanggannya.

“Kerja-kerja pembersihan dan sanitasi sedang dilakukan di pejabat yang terlibat dan juga akan dijalankan di seluruh bangunan,” kata bank itu.

Menurut bank itu, semua kakitangan telah dinasihatkan untuk mengamalkan penjagaan kebersihan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan serta peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Affin Bank juga memberi jaminan kepada pelanggan operasinya tidak terjejas semasa tempoh ini selaras dengan pelan kesinambungan perniagaannya yang termasuk sistem sokongan, kemudahan pemulihan, penyusunan kerja dari rumah dan saluran komunikasi alternatif.

Pelanggan dinasihatkan untuk melakukan urusan perbankan mereka menerusi www.affinonline.com atau menghubungi pusat panggilan di 03-8230 2222.

Bagi maklumat lanjut, pelanggan boleh merujuk kepada laman web dan akaun media sosial rasmi Affin Bank.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story