Siakap Keli

Kawasan Sekitar Pejabat Perdana Menteri Di Bangkok Lengang Selepas Perisytiharan Darurat

BANGKOK, 15 Okt — Kawasan di sekitar pejabat Perdana Menteri di sini telah dikosongkan untuk lalu lintas dan dibersihkan oleh pekerja perbandaran setelah demonstrasi antikerajaan berakhir pada  Khamis, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).

Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Prayut Chan-ocha mengisytiharkan darurat di Bangkok yang melarang perhimpunan lima orang atau lebih, berkuat kuasa 4 pagi, Khamis.

Di bawah dekri darurat perhimpunan awam yang tidak sah telah menyebabkan gangguan dan memberi kesan kepada sebuah kenderaan diraja serta langkah-langkah pengawalan COVID-19.

Selain itu, dilarang menerbitkan berita dan maklumat yang boleh menimbulkan ketakutan, mengelirukan atau menimbulkan salah faham yang menjejaskan keselamatan negara.

Selepas pengisytiharan darurat, polis menahan tiga pemimpin tunjuk perasaan Parit Chirawat, peguam hak asasi manusia Arnon Nampha dan Panupong Jadnok setelah mereka mengumumkan untuk mengakhiri tunjuk perasaan di Pejabat Perdana Menteri dan berkumpul di kawasan perniagaan Ratchaprasong pada Khamis petang. Sebilangan besar penunjuk perasaan telah meninggalkan lokasi perhimpunan tersebut.

TNA melaporkan seorang lagi pemimpin tunjuk perasaan, Panusaya Sithijirawattanakul, ditangkap pagi ini setelah beliau berikrar di media sosial untuk terus melakukan demonstrasi di persimpangan Ratchaprasong pada jam 4 petang yang melanggar keputusan darurat.

Pada Rabu, ribuan penunjuk perasaan berarak dari Monumen Demokrasi untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri supaya mengundurkan diri pada ulang tahun ke-47 pemberontakan 1973.

Mereka juga menuntut perlembagaan baharu dan pembaharuan monarki.

Sumber- BERNAMA

Faiz Mustafa