Siakap Keli
Gambar: Google

Kerajaan Thailand Dilapor Isytihar Darurat Di Bangkok, Halang Orang Ramai Berkumpul

Kerajaan Thailand dilaporkan mengisytiharkan darurat serta mengharamkan perhimpunan besar-besaran bagi membendung aktiviti tunjuk perasaan di Bangkok.

Menurut BBC, tempoh darurat itu akan berkuat kuasa pada pukul 04:00 waktu tempatan, Khamis ini. Arahan itu sekaligus mengharamkan perhimpunan melebihi empat orang serta menghalang orang ramai memasuki kawasan tertentu.

Di samping itu, kerajaan Thailand turut melarang penerbitan berita yang disifatkan boleh menjejaskan keselamatan dan keamanan negara.

Pengumuman melalui siaran televisyen menyifatkan penunjuk perasaan sebagai ‘penyebab kekacauan dan rusuhan masyarakat.’

Gerakan protes yang didorong oleh para pelajar bermula Julai lalu itu dikatakan menjadi cabaran terbesar dalam tempoh beberapa tahun terhadap institusi beraja di negara berkenaan.

Berdasarkan laporan media, memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan, seramai 18,000 penunjuk perasaan telah menyertai demonstrasi pada Sabtu.

Mereka dikatakan mendesak pengekangan kuasa diraja dan perletakan jawatan Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha.

Desakan penunjuk perasaan untuk pembaharuan kerajaan merupakan isu sensitif di Thailand di mana kritikan terhadap pemerintahan beraja boleh dikenakan hukuman penjara yang panjang.

Sumber: BBC

Amira

Love yourself.