Siakap Keli
Gambar: Google

Lelaki Ditahan, Didakwa Letak Mata Pisau Cukur Dalam Doh Pizza Yang Kemudiannya Dijual

Seorang lelaki di Maine, Amerika Syarikat ditahan atas dakwaan meletakkan mata pisau cukur ke dalam doh pizza yang kemudiannya dijual kepada pelanggan.

Dalam kejadian 6 Oktober lalu, sebuah pasaraya tempatan melaporkan kepada polis mengenai cubaan seseorang merosakkan produk makanan yang dijual mereka.

Seorang pelanggan dikatakan telah membeli doh pizza sebelum mengadu berhubung penemuan beberapa keping mata pisau di dalam produk tersebut.

Susulan itu, pihak pasaraya berkenaan menjalankan siasatan dan meneliti rakaman kamera litar tertutup di mana mereka mendapati suspek sedang ‘mengusik’ beberapa bungkusan doh pizza.

Suspek berjaya ditahan kira-kira 80 kilometer dari lokasi kejadian dalam tempoh dua jam kemudian.

Siasatan awal mendapati suspek merupakan bekas pekerja yang mengilangkan produk pizza tersebut. Pun begitu, motif sebenar tindakannya masih dalam siasatan.

Sumber: ABC News

Amira

Love yourself.