Siakap Keli
Gambar: Bernama

Penumpang MAS KL-Labuan Pada 8. 35 Pagi, 11 Oktober Lalu Diminta Jalani Ujian COVID-19

Labuan, 15 Okt – Seramai 99 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang menaiki penerbangan MH2608 dari Kuala Lumpur ke Labuan pada 8.35 pagi, 11 Oktober lalu diminta menjalani saringan COVID-19 segera.

Hal ini susulan salah seorang penumpang penerbangan berkenaan disahkan positif virus itu baru-baru ini.

Menurut Bernama, Pusat Kesediaan dan Respons Krisis (CPRC) Labuan telah mengeluarkan jadual ujian di Klinik Kesihatan Membedai mulai hari ini dari jam 11 pagi hingga 2 petang.

Mereka yang terlibat dan ingin mengatur semula jadual ujian diminta menghubungi CPRC Labuan di talian 087-596160, 087-422505 atau 087-442506.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, setakat ini sebanyak 13,462 sampel telah diambil dari individu yang pulang dari Sabah sejak 26 September lalu.

Setakat Isnin lalu, 9,680 hasil ujian COVID-19 telah dikeluarkan manakala selebihnya masih menunggu keputusan.

Labuan melaporkan 86 kes COVID-19 dengan lapan kes baru semalam (14 Okt). Wilayah itu mempunyai dua kluster aktif, Bah Bangat dan Bah Bundle, masing-masing mencatatkan sekurang-kurangnya 10 dan enam kes setakat ini.

Sementara itu, restoran makanan Jepun, Sakura Sushi ditutup sementara selepas salah seorang pelanggannya antara 4 hingga 10 Oktober lalu disahkan positif COVID-19. Susulan itu, kesemua staf restoran itu dilaporkan menjalani ujian dan kuarantin kendiri.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.