Siakap Keli

“Semoga Allah Tunjukkan Jalan…”, Pelakon Filem Jai Ho, Sana Khan Nekad Berhijrah & Tinggalkan Dunia Glamour Bollywood

Bintang Bollywood, Sana Khan mengisytiharkan dirinya keluar dari dunia industri seni hiburan yang dijalaninya selama ini, semata-mata untuk berhijrah dan kembali ke landasan syariat.

Pelakon filem Jai Ho (2014)  berusia 33 tahun itu menyatakan, dia telah dilimpahi segala jenis kemasyhuran, kekayaan dan kehormatan sepanjang berkecimpung dalam dunia industri hiburan.

“Tetapi, beberapa hari kebelakangan ini saya mula sedar bahawa; adakah tujuan sebenar manusia dihidupkan di dunia ini hanya untuk mengejar kekayaan dan kemasyhuran?

“Bukankah tugas mereka untuk menghabiskan hidupnya dengan membantu manusia yang memerlukan dan tidak berdaya? Tidakkah seseorang boleh berfikir bahawa dia boleh mati pada bila-bila masa? Dan apa yang akan terjadi kepadanya setelah dia tiada lagi (di dunia)?

Gambar: NDTV/Instagram

“Saya telah lama mencari jawapan kepada persoalan ini, terutamanya apa yang akan terjadi selepas kematian saya,” katanya dalam satu hantaran di Instagram, baru-baru ini.

Katanya lagi, apabila dia cuba mencari jawapan untuk persoalan tersebut, dia akhirnya sedar bahawa kehidupan di dunia ini sebenarnya adalah sebagai persediaan untuk kehidupan selepas mati.

“Dan ianya akan jadi lebih baik jika setiap hamba itu hidup dengan menurut segala perintah-Nya serta tidak menjadikan kekayaan dan kemasyhuran itu satu-satu tujuannya,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Sana Khan meluahkan, bermula pada saat itu dia mengambil keputusan untuk tekad keluar dari ‘dunianya’.

“Oleh itu, hari ini saya mengisytiharkan mulai hari ini, saya akan mengucapkan selamat tinggal kepada gaya hidup hiburan saya buat selama-lamanya dan akan membantu kemanusiaan serta mematuhi perintah Pencipta saya.

“Saudara-saudari sekalian mohon doakan agar Allah menerima taubat saya dan mengurniakan saya kemampuan sejati untuk hidup seiring dengan azam saya; menghabiskan sisa-sisa hidup dengan kemanusiaan dan berikan saya ketabahan untuk melaluinya.

Gambar: Instagram

“Saudara-saudari juga dimohon untuk tidak lagi berurusan dengan saya mengenai sebarang rancangan (hiburan) lagi selepas ini,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam masa sama, hantaran yang dimuat naik itu turut diiringi satu kapsyen yang berbunyi:

“Detik terindah saya. Semoga Allah membantu saya dan memimpin saya dalam perjalanan ini,” katanya.

Pengumuman penghijrahannya itu mendapat pelbagai respon baik daripada segenap rakan-rakan artisnya.

Rata-rata mereka saling mendoakan agar perjalanan Sana dalam berhijrah dipermudahkan.

Sumber: NDTV, Instagram

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'