Siakap Keli

(Video) Beruang Buat ‘Head Banging’ Macam Layan Lagu ‘Rock’, Rupa-Rupanya Ini Sebabnya

Baru-baru ini tular video seekor beruang yang melakukan aksi anggukan kepala berulang-ulang kali atau disebut dengan istilah ‘head banging’.

Video tersebut dipercayai mungkin telah disunting dengan berlatarbelakangkan bunyi muzik rock, menunjukkan seolah-olah head banging yang dilakukan beruang itu akibat ‘melayan’ muzik keras tersebut.

Bagaimanapun setelah diselidiki, video itu pernah tular sekian lama dahulu, dipercayai berlaku di Oji Zoo di Kobe, Jepun pada 2011.

Apa yang buatkan beruang angguk kepala?

Memetik laporan Soranews24 pada Jun 2014, beruang itu dikatakan baru berpindah ke ‘rumah’ baharunya di zoo tersebut dari tempat asalnya.

Berdasarkan video, sekumpulan kanak-kanak pelajar sekolah di cermin kaca itu kelihatan gembira dan seolah-olah bersorak apabila beruang itu menganggukkan kepalanya berulang-kali.

Namun, di sebalik hiburan itu tiada siapa yang menyedari bahawa haiwan berkenaan sebenarnya sedang mengalami tekanan atau stres.

Pergerakan streotype

Merujuk laporan tersebut, kelakuan pelik beruang itu umumnya pasti diketahui oleh mereka yang arif dalam bidang zoologi dan faham bahawa ia sebenarnya satu masalah.

“Ternyata ‘head banging’ beruang itu bukan sekadar memprotes kerana tidak selesa atau panas, tetapi mungkin merupakan contoh stereotaip; iaitu pada dasarnya satu pergerakan berulang-ulang.

“Stereotaip boleh didapati pada manusia dan haiwan, dan biasanya menunjukkan masalah mental atau psikologi,” jelas laporan itu.

Kelakuan streotaip seperti ini dipercayai biasa berlaku di zoo atau kandang haiwan, ia mungkin disebabkan haiwan tersebut diletakkan di tempat (habitat) yang tidak betul atau terpencil.

Kredit gambar: Google

Sebagai contoh, laporan penyelidikan Oxford menyatakan bahawa sehingga 40 peratus gajah yang ditempatkan di dalam zoo menunjukkan beberapa kelakukan streotaip.

“Apabila haiwan yang selama ini tinggal di rumahnya (habitat) beratus-ratus batu jauh di hutan dan menghabiskan masa mereka dengan menjelajah dimasukkan ke kandang yang kecil (zoo), anda akan dapat membayangkan penderaan mental yang mereka alami.

“Sama seperti penjara yang beri kesan buruk pada manusia. Rangsangan dan keupayaan yang terhad untuk melakukan naluri semulajadi mereka untuk mencari makan boleh beri kesan besar pada haiwan-haiwan di zoo,” tambah laporan itu lagi.

Di bawah ini adalah rakaman video di sebuah zoo yang menempatkan dua ekor gajah.

Jika merujuk kepada video ini, jelas kelihatan kedua-dua ekor gajah tersebut membuat perlakuan streotaip dengan ‘gaya’ masing-masing.

Gajah di belah kiri menghayunkan kepalanya dan kelihatan seakan menari, manakala gajah di belah kanan pula seakan-akan mahu mencari jalan keluar di pagar tersebut.

Difahamkan, gajah berkenaan berkelakuan sedemikian bukan kerana ‘gembira’, tapi sebab tertekan akibat dikurung.

Mencari solusi terbaik

Selain itu, beberapa jalan penyelesaian dicadangkan oleh pakar bagi isu penderaan mental haiwan di zoo ini, termasuklah usaha memperluas keluasan kandang, pemuliharaan alam sekitar dan memindahkan haiwan-haiwan di zoo ke pusat santuari.

Bagaimanapun, sudah tentu semua langkah ini memerlukan kos yang agak tinggi, selain akan merugikan pihak zoo.

Pendapat dan pandangan pakar-pakar ini bukan untuk menuduh bahawa setiap haiwan yang ditempatkan di zoo itu menderita. Bukan.

Akan tetapi perkara yang dipersoalkan adalah haiwan-haiwan ini selalunya hidup dalam kurungan yang agak tidak sesuai dengan saiz, ekosistem dan keadaan mereka sendiri.

Sumber: Syi Su, Soranews24, bearbiology.org, Independent

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'