Siakap Keli
Kredit gambar: Google

Apa Hukum Tulis Kaligrafi Ayat Quran Dalam Bentuk Haiwan? Ini Jawapan Ustaz Azhar Idrus

Pernahkah kita terlihat ada sesuatu bingkai hiasan yang tertera ayat Al-Quran padanya yang ditulis dalam bentuk haiwan?

Untuk makluman, tulisan berbentuk haiwan itu sebenarnya adalah salah satu cabang kesenian kaligrafi khat.

Pada kita, ia mungkin nampak cantik tapi bagaimana sudut hukum syara’ pula? Adakah ianya dibolehkan atau dilarang?

Ikuti penjelasan daripada agamawan terkenal Ustaz Azhar Idrus ini.

Tulis ayat Quran bentuk haiwan

Soalan:

Soalan saya ialah pasal tulisan kaligrafi Al-Quran yang sesetengahnya dibuat atas rupa bentuk haiwan seperti burung dan sebagainya. Saya hendak tahu apakah hukumnya di sisi syarak?

Jawapan:

Menulis kaligrafi atas rupa makhluk bernyawa adalah sama hukumnya dengan membuat lukisan.

Lukisan makhluk bernyawa adalah dilarang melainkan kerana hajat seperti gambar-gambar untuk pelajaran dan gambar untuk memberi penerangan atau maklumat dan seumpamanya maka iaitu dibolehkan.

Gambar-gambar yang bukan termasuk hajat ialah seperti gambar untuk perhiasan.

Berkata Syeikh Abdurrahman Al-Jaziri:

الشافعية – قالوا : يجوز تصوير غير الحيوان كالأشجار والسفن والشمس والقمر أما الحيوان فإنه لا يحل تصويره سواء كان عاقلا أو غير عاقل . الفقه على المذاهب الأربعة

Ertinya: “Ulama’ mazhab Syafie mengharuskan membuat gambar selain haiwan seperti pohon dan kapal dan matahari dan bulan. Adapun haiwan maka sesungguhnya tidak halal membuatnya sama ada yang berakal atau yang tidak berakal,” (Kitab Al-Fiqh ala Mazahib Al-Arba’ah).

Oleh kerana itulah dilarang membuat tulisan ayat Quran dalam bentuk makhluk yang bernyawa dan diharuskan membuat bentuk makhluk yang tidak bernyawa.

Majma’ Fiqah Islamy yang bertarikh 17 Februari 1990 telah memutuskan:

لا يجوز كتابة آية أو آيات من القرآن الكريم على صورة بعض الطيور أو غيرها، لما في ذلك من العبث والاستخفاف بكلام الله سبحانه وتعالى والاستهانة به

Ertinya: “Tidak harus menulis satu ayat atau beberapa ayat daripada Al-Quran atas rupa sebahagian burung-burung atau lainnya kerana ada pada yang demikian itu dari bermain-main dan meringankan dengan kalam Allah Taala dan mempersendakan dengannya,”

Kesimpulannya, dilarang menulis kaligrafi Al-Quran atas rupa makhluk bernyawa kerana kias dengan larangan membuat lukisan makhluk bernyawa dan dari kerana Al-Quran itu bukan untuk dijadikan perhiasan semata-mata tetapi untuk dibaca dan diamalkan.

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Sumber: Ustaz Azhar Idrus

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'