Tiada siapa yang mampu memikul beratnya rasa kehilangan orang tersayang yang selama ini selalu ada di depan mata.
Bukan untuk membezakan namun ibu bapa yang kehilangan anak-anak buat selamanya akan lebih merasai perit yang takkan mampu diungkapkan dengan kata-kata.
Sering melihat situasi ini, Redza Zainol yang merupakan doktor di sebuah hospital berkongsi mengenai pengalaman beliau menyaksikan ibu bapa yang kehilangan anak tersayang.
Ikuti kiriman yang telah dikongsikan di Facebook beliau.
Dari petang mata ni asyik berkaca-kaca.
Sekejap-kejap ditelan air liur supaya air mata tu tak tumpah.
“Doktor, anak saya ada lagi ke?”
Saya minta maaf, tapi anak puan…
Saya tergagap banyak kali. Kata-kata saya tersekat, cuba menahan sebak.
Setiap kali lalu di hadapan ICU, teringat kisah 10 tahun lepas ini.
Menjadi doktor pelatih yang baru beberapa bulan bekerja.
Saya menjaga seorang kanak-kanak 13 tahun yang dilanggar di bahagian kepala oleh sebuah lori ketika berjalan seorang diri di tepi jalan.
Lori bergerak laju dan hanya “side mirror” lori tu yang terkena pada kepala anak tu. Budaknya terpelanting dan terus pengsan.
Pendarahan dalam otak sangat teruk dan perlu disokong dengan alat bantuan pernafasan.
Ketika saya sebutkan anaknya sudah tiada, saya yang menangis dulu sebelum ibunya.
Ibunya asyik sebut badan anaknya semua bersih. Tangan, kaki, badan semuanya elok. Tak ada kesan dilanggar. Cuma ada bengkak di kepala.
“Sayangnya anak kita bang. Sayangnya.”
Pengalaman pertama menghadapi kematian seorang kanak-kanak sungguh menginsafkan.
Deritanya menjadi ibu dan ayah yang kehilangan anak ini hanya Allah yang tahu. Dan saya pada ketika tu, hanya buat apa yang termampu.
Banyak masanya, saya doakan moga semua pesakit sembuh. Namun, mati, ajal dan maut itu kuasa mutlak Allah.
Redza Zainol
Yang masih belajar.Saya banyak kongsikan ilmu kesihatan bayi dan kanak-kanak di Channel Telegram saya. Join di sini https://t.me/NotaRedzaZainol
Sumber: Redza Zainol