Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Gangguan Bekalan Air Di 59 Kawasan Di Klang/Shah Alam Dan Kuala Langat

KUALA LUMPUR, 16 Okt — Bekalan air di 59 kawasan di Wilayah Klang/Shah Alam dan Kuala Langat mengalami gangguan susulan kejadian paip pecah berikutan tambakan tanah di atas paip oleh pihak ketiga sehingga menyebabkan tekanan berlebihan pada paip di kawasan pembinaan Worldwide Seksyen U11, Shah Alam.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) Elina Baseri berkata antara kawasan yang terlibat ialah Ambang Botanik, Bandar Bestari dan Glenmarie Cove di Wilayah Klang/Shah Alam, manakala di Wilayah Kuala Langat adalah Jalan Sijangkang Utama, Eco Santuary dan Tropicana Aman.

“Kerja-kerja pembaikan paip pecah dijangka siap 10 malam ini dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 10 pagi esok.

“Pengguna akan menerima bekalan air secara berperingkat berdasarkan jarak premis dan tekanan air apabila ia disalurkan semula. Bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki akan digerakkan ke kawasan terlibat bagi membantu pengguna yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elina berkata maklumat perkembangan kerja-kerja pembaikan paip pecah itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor dalam Facebook, Twitter dan Instagram, serta aplikasi telefon pintar Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story