Siakap Keli
Kredit gambar: PLUS/Google

Semua Surau Di R&R, Hentian Sebelah & Plaza Tol PLUS Di Selangor, KL & Putrajaya Ditutup Sementara

PETALING JAYA, 16 Okt – Semua surau di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan hentian sebelah plaza tol yang terletak di Selangor, Kuala Lumpr dan Putrajaya ditutup sementara.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi satu kenyataan berkata, ia selaras dengan arahan yang dikeluarkan kerajaan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di ketiga-tiga wilayah tersebut.

“Antara lokasi terlibat ialah R&R Ulu Bernam (Arah Selatan), R&R Rawang (Arah Utara), R&R Dengkil (kedua-dua arah), Restoran Jejantas Sungai Buloh dan USJ serta Hentian Sebelah Tanjung Malim (Arah Utara), Hentian Sebelah Sungai Buloh (Arah Selatan) dan Hentian Sebelah Serdang (kedua-dua arah).

“Ini termasuklah semua 29 surau yang terdapat di hentian sebelah plaza tol PLUS di negeri dan kawasan yang terbabit,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Sementara itu, gerai makan di lokasi tersebut hanya dibuka antara pukul 6 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh PKPB dan hanya dua individu dibenarkan duduk di setiap meja makan yang disediakan.

“Pelanggan yang singgah di R&R terbabit juga perlu mendaftar menerusi MySejahtera dan mengambil suhu badan sebelum memasuki premis makanan.

“Mereka juga perlu mematuhi penjarakan fizikal satu meter serta memakai pelitup muka sebelum dan selepas makan,” tambah kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, kemudahan tandas awam di semua kawasan R&R terbabit tetap beroperasi 24 jam sehari sepanjang tempoh PKPB.

Sumber: PLUS via BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'