Siakap Keli
Kredit gambar: Bomba Perak

Suspek Kes Pecah Rumah Maut Selepas Digilis Dalam Kemalangan Ngeri

IPOH, 16 Okt (Bernama) — Seorang suspek kes pecah rumah di Kedah maut dalam kemalangan  ngeri  selepas digilis beberapa kenderaan setelah terjatuh daripada motosikal yang ditunggangnya  di Kilometer (Km) 295.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, berdekatan susur keluar Tol Gopeng di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian melibatkan suspek lelaki berusia 40 tahun itu pada pukul 3.35 pagi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila suspek yang menunggang motosikal jenis Demak Evo yang dilaporkan dicuri di Alor Janggus semalam, terbabas sendiri lalu terjatuh di atas jalan raya sebelum digilis sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan kenderaan lain yang tidak dikenal pasti.

“Suspek maut di tempat kejadian kerana diseret sejauh kira-kira 200 meter manakala motosikal berkenaan dijumpai kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian di lorong kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata semakan mendapati suspek yang beralamat di Kijal, Terengganu disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Alor Setar pada Sabtu lepas dan di Kuala Kedah, Ahad lepas selain dikehendaki dalam kes  merosakkan pagar Masjid Kubang Siam semalam.

Katanya bedah siasat ke atas mayat mangsa di Hospital Kampar mendapati punca kematian disebabkan ‘Crush Injury Secondary To Road Traffic Accident’ dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan  kecemasan pada 3.54 pagi sebelum menggerakkan anggota ke lokasi kejadian dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sumber: BERNAMA, Bomba Perak

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'