Siakap Keli
Kredit gambar: Google

Tiga Lagi Kluster Baharu COVID-19 Dikesan Iaitu Di Perak, Kedah & Selangor

PUTRAJAYA, 16 Okt – Terdapat tiga lagi kluster jangkitan COVID-19 yang dikenal pasti hari ini, umum Kementerian Kesihatan.

Ketua pengarahnya, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama ialah Kluster Lekir di daerah Manjung, Perak.

“Kes indeks adalah kes ke-17,526 dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 14 Okt. Kes telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

“Saringan kontak rapat mendapati terdapat lima lagi kes positif. Hingga 16 Okt (hari ini), seramai 144 individu telah disaring, enam kes positif, dua negatif dan 136 lagi sedang menunggu keputusan,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.

Dalam pada itu, kluster kedua ialah Kluster Buntar yang melibatkan Kuala Muda, Kedah; Kerian, Perak dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Kes indeks adalah kes ke-18,035 yang dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 15 Okt (semalam). Kes telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Hasil saringan kontak rapat mendapati terdapat tujuh lagi kes positif. Hingga 16 Okt, 51 individu telah disaring, lapan kes positif dan 43 lagi sedang menunggu keputusan,” tambahnya lagi.

Selain itu, kluster ketiga ialah Kluster Merbok yang melibatkan daerah Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Petaling, Selangor.

“Kes indeks adalah kes ke-17,983 yang dikesan positif hasil sarngan individu bergejala pada 9 Okt. Kes telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.

“Hasil saringan kontak rapat mendapati terdapat lapan lagi kes positif. Hingga 16 Okt, 270 individu telah disaring, sembilan kes positif dan 261 selebihnya masih menunggu keputusan,” katanya lagi.

Sementara itu, terdapat enam kes kematian direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini meningkat ke 176 kes.

Sumber: KKM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'