Seorang wanita warga Amerika Syarikat berusia 27 tahun telah ditangkap kerana didakwa membunuh seorang wanita hamil dan mengeluarkan janin dari rahimnya, lapor Fox News.
Mayat mangsa yang berusia 21 tahun itu ditemui di sebuah rumah yang terletak di New Boston sekitar jam 10.20 pagi pada 9 Oktober lalu selepas pihak polis New Boston menerima panggilan 911.
“Siasatan awal menunjukkan bahawa seorang bayi yang belum dilahirkan telah dikeluarkan daripada badan mangsa,” menurut kenyataan akhbar Jabatan Keselamatan Awam Texas.
Laporan daripada Texarkana Gazette menyatakan bahawa mangsa sedang hamil kira-kira tujuh setengah bulan.
Menurut KLTV, suspek didakwa telah pergi ke hospital bersama bayi tersebut yang kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital itu.
Polis menyatakan seorang suspek wanita telah ditahan di Oklahoma.
Suspek bakal didakwa atas tuduhan membunuh dan menculik ekoran daripada kematian mangsa pada minggu lalu di New Boston, menurut laporan.
Sumber: People.com, Fox News