Siakap Keli

Anggota MPV Cedera Dilibas Sabit Lelaki Di Port Dickson

SEREMBAN, 17 Okt – Seorang anggota kereta peronda polis (MPV) cedera di kepala selepas dilibas dengan sabit oleh seorang lelaki di kawasan semak berhampiran sebuah pasar raya di Port Dickson Waterfront, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian kira-kira 10.00 malam itu suspek yang berumur 61 tahun bertindak menyerang anggota berusia 35 tahun itu meskipun amaran telah diberikan.

“Kita menerima maklumat daripada orang awam mengatakan seorang lelaki memegang sabit di sebuah tapak kendera saji (food truck) parking pasar raya itu dan siasatan mendapati suspek telah membuat kacau ganggu di situ.

“Suspek kemudiannya melarikan diri ke kawasan semak berhampiran pasar raya itu. Anggota MPV telah mengarahkan suspek untuk berhenti namun tidak diendahkan dan masih berlari ke arah polis dengan memegang sabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rentetan itu, anggota berkenaan telah melepaskan satu das tembakan jarak dekat sebagai amaran, namun suspek masih bertindak menyerang sehingga menyebabkan anggota terbabit melepaskan satu lagi tembakan yang mengenai perut suspek.

Meskipun cedera, suspek masih bertindak menghayunkan sabit berkenaan ke arah anggota sehingga menyebabkan kecederaan di kepala sebelah kiri, kata Aidi Sham menambah berlaku pergelutan sebelum suspek berjaya ditangkap.

Menurutnya, suspek dibawa ke Hospital Port Dickson manakala anggota polis berkenaan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.

“Suspek kini berada di Hospital Seremban di bawah pemantauan Unit Rawatan Rapi (ICU). Keadaannya stabil dan akan menjalani satu lagi pembedahan, esok,” katanya.

Kes disiasat di bawah 307 Kanun Keseksaan dan Sek 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang