Siakap Keli

PKPP Wujudkan Peluang Ibu Tunggal Jadi Usahawan Cili Fertigasi Di Batu Pahat

BATU PAHAT, 17 Okt- Bagi sekumpulan ibu tunggal di Parit Ya’ani, memegang status berkenaan dianggap bukan penghalang malah mendorong mereka untuk terus berjaya dengan mengusahakan tanaman cili secara fertigasi.

Malah, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat pandemik COVID-19 dimanfaatkan enam ibu tunggal sehingga mendorong mereka menjadi usahawan dengan menanam cili secara fertigasi.

Ketua Projek Tanaman Cili Fertigasi Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia Parlimen Sri Gading Zon Parit Ya’ani Asmah Kassim berkata idea untuk melaksanakan tanaman cili ini bermula semenjak awal tahun lagi, namun ia tergendala akibat penularan COVID-19.

Beliau yang juga Pengerusi pertubuhan berkenaan, dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT), berkata projek itu akhirnya berjaya direalisasikan awal Ogos lalu dengan tanaman permulaan sebanyak 500 pokok.

“Dalam tempoh dua bulan ini hasil tanaman kami telah mecapai sehingga 60 kilogram dengan tuaian pertama telah melebihi sasaran yang sekitar 35 hingga 50 kilogram,” katanya kepada Bernama ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurut Asmah, harga pasaran cili berkenaan adalah sekitar RM18 hingga RM25 mengikut gred dan dengan adanya projek tanaman ini, sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang rata-ratanya masih mempunyai anak yang masih bersekolah.

Jika mengikut sasaran, pokok cili tersebut mampu dituai setiap 10 hari dan hasil tuaiannya akan mampu mencecah sehingga 100 kilogram untuk sekali tuaian, bagi tuaian kali kedua dan seterusnya.

“Kami juga bersyukur dengan bimbingan daripada YPKDT, terutamanya di peringkat daerah Batu Pahat serta konsultan yang dilantik kerana memberi bimbingan untuk kami daripada awal sehingga ke hari ini,” katanya.

Bagi Zurinah Taib yang mempunyai lapan orang anak, dengan menyertai projek ini ia bagai memberikan sinar harapan untuknya mencari pendapatan setelah sebelum ini amat bergantung kepada bekas suami.

“Empat daripada anak saya masih bersekolah, yang paling kecil berusia enam tahun dan yang paling besar berusia 27 tahun.

“Alhamdulillah…setelah sekali tuaian, cili ini ia dapat menampung perbelanjaan kami sekeluarga,” kata wanita berusia 48 tahun itu.

Sementara itu, Pegawai Tadbir YPKDT Batu Pahat Siti Manisah Sidek berkata pihaknya menyediakan peruntukan kepada golongan B40 bagi menceburi bidang keusahawanan melalui komuniti.

Peruntukan berkenaan yang telah bermula tiga tahun lepas, mempunyai pelbagai cabang bantuan keusahawanan tetapi setelah melihatkan kebanyakan mereka yang menceburi tanaman cili ini lebih berjaya, pihaknya kini mula memfokuskan kepada tanaman terbabit.

“Bagi tanaman cili secara fertigasi ini, pihak YPKDT menyediakan modal permulaan sebanyak RM15,000 berbentuk anak pokok cili serta kelengkapan untuk memulakan tanaman terbabit.

“Kita juga akan melantik konsultan untuk membimbing komuniti yang layak sehingga mereka berjaya memasarkan produk hasil tanaman cili ini.

“Bagaimanapun, bantuan daripada pihak YPKDT ini lebih kepada permulaan atau proses tanaman kali pertama yang berperanan sebagai galakan serta membimbing untuk membolehkan golongan B40 ini berjaya keluar daripada kesusahan, sekali gus mempunyai pendapatan,” katanya.

Bagi tanaman kali kedua dan seterusnya, ia bergantung kepada komuniti itu sendiri setelah mereka mempunyai modal hasil tanaman mereka sebelum ini, yang mana bimbingan daripada YPKDT ini sekitar enam hingga lapan bulan.

Sumber- BERNAMA

Faiz Mustafa