Siakap Keli

YOKUK Tawar Rawatan Terapi Berkuda Secara Percuma Untuk OKU

KOTA BHARU, 17 Okt- Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) di Pengkalan Chepa, di sini, menawarkan rawatan terapi berkuda atau hippoterapi secara percuma untuk pesakit orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan YOKUK.

Menurut Pembantu Terapi Berkuda YOKUK, Che Ishak Che Yahya, 56, terapi berkuda adalah rawatan menggunakan pergerakan kuda untuk meningkatkan keseimbangan badan, meningkatkan tumpuan, mengurangkan kekejangan otot dan ia boleh meningkatkan kemampuan fizikal golongan OKU.

Beliau yang mempunyai pengalaman hampir 17 tahun dalam rawatan terapi itu berkata kaedah terapi berkuda yang ditawarkan YOKUK adalah berbeza mengikut keadaan dan kondisi pesakit.

“Kebiasaannya, mereka diberikan terapi menggunakan kaedah mengikut jenis penyakit yang dialami termasuk autisme, sindrom Down, palsi serebrum, ADHD (gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan), global developmental delay (GDD) dan sebagainya, maka terapi yang diberikan akan memfokuskan di bahagian yang bermasalah.

“Sebagai contoh, jika klien mempunyai kondisi berkait dengan kawalan di bahagian kepala, badan, tangan atau kaki lemah, kami akan menggunakan kaedah terapi yang dapat menguatkan otot-otot mereka dan dilakukan selama 30 minit di atas kuda,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Che Ishak setakat ini 300 pesakit telah menjalani rawatan terapi di YOKUK dan tambah beliau, sekiranya pesakit konsisten menjalani terapi tiga kali dalam sebulan, dalam tempoh enam bulan perubahan boleh dilihat.

Terapi berkuda yang melibatkan penggunaan kuda dalam rawatan pemulihan perlu dikendalikan oleh petugas yang terlatih dalam bidang pengurusan dan mempunyai latihan berkuda.

Bagi Muhammad Asrul Sani Abdul Halim, pemuda OKU pendengaran dan bisu, amat bertuah kerana diberi peluang oleh YOKUK bekerja di situ sejak dua tahun lepas, sebagai penjaga kuda dan diberi peluang mengikuti bengkel penjagaan kuda anjuran yayasan itu.

Muhammad Asrul Sani, 22, yang berasal dari Beris Kubu Besar, Bachok, berkata dia tidak menyangka mampu menyesuaikan diri dengan kuda sehingga boleh memahami isyarat badan serta berkomunikasi dengan haiwan itu melalui sentuhan tangan serta menjinakkannya,

“Saya mengambil masa enam bulan untuk menyesuaikan diri, memahami dan mempelajari isyarat badan haiwan itu. Alhamdulillah saya tidak menyangka boleh ‘serasi’ dengan haiwan itu dan semakin mahir menguruskan kuda,” katanya kepada Bernama menggunakan bahasa isyarat yang diterjemah Pegawai Fisioterapi YOKUK Nurli Syuhada Md Arifian.

Bercerita lanjut, Muhammad Asrul Sani berkata beliau berulang alik dengan menaiki motosikal ke tempat kerjanya sejauh lebih 15 kilometer dan akan memulakan rutin hariannya bermula 8.30 pagi hingga 5.30 petang dengan memandikan, mencuci kandang dan memberi makan kepada dua ekor kuda jagaannya yang digunakan untuk rawatan terapi berkuda itu.

Sumber- BERNAMA

Faiz Mustafa