Siakap Keli

Air Laut Pasang Besar Di Selangor Rekod Paras Tertinggi Dalam Tempoh 20 Tahun

SHAH ALAM, 18 Okt (Bernama) — Fenomena air laut pasang besar di Selangor setakat hari ini direkodkan tertinggi sejak 20 tahun lepas, apabila mencatat bacaan ketinggian paras air laut 5.8 meter, pada 6.50 pagi tadi.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata fenomena lazim berlaku setiap tahun melanda lima daerah di negeri itu bagaimanapun tidak melibatkan pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 11 pagi tadi.

“Berlaku limpahan kecil air di kawasan penempatan berhampiran pantai di lima daerah iaitu Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang pagi tadi namun kini ia sudah mulai surut.

“Di Kuala Selangor berlaku kejadian hakisan ban dan benteng di Kampung Sungai Janggut, Jeram dan beberapa rumah telah dimasuki air sehingga paras betis akibat limpahan air laut.

“Hanya sedikit limpahan kecil juga dikesan melepasi ban atau benteng di kawasan Bagan Pasir Tanjung Karang, jalan masuk Apartment Budiman, rekreasi pantai Sungai Kajang, Jalan Sungai Dungun, Kampung Tok Adam, Bagan Sungai Janggut, Kampung Bagan Sungai Kajang, Jeti Nelayan Sungai Kajang, Pekan Sungai Buloh Sasaran dan Jalan Taman Senangin Sasaran di sekitar daerah ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Izzat Haziq berkata terdapat runtuhan kecil di Ban Kampung Nelayan Telok Gong, Pelabuhan Klang, Klang dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran negeri akan melaksanakan pembaikan dalam kadar segera.

“Beberapa kawasan di daerah itu turut dikesan mengalami limpahan air iaitu antaranya kawasan Ban Sungai Keramat Kampung Batu 4, Ban Batu 7 (Kampung Sementa), Kampung Tok Muda, Pengkalan Nelayan Batu 7 Kampung Sementa, Pengkalan Nelayan Kampung Sementa, Jalan Banting Pandamaran, Pengkalan Sungai Udang Kampung Baru Telok Gong dan Kampung Tradisi dan Kampung Pendamar,” katanya.

Muhammad Izzat Haziq berkata cuaca yang cerah dan ketiadaan hujan antara faktor yang menyebabkan fenomena air laut pasang di lima daerah tersebut dalam keadaan terkawal.

Fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai di lima daerah di Selangor bermula semalam hingga esok, serta diramal berlaku pada 15 dan 16 Nov.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.