Siakap Keli
Gambar: Pichayada Promchertchoo via CNA

Bantah Perintah Darurat, Ribuan Penunjuk Perasaan Berkumpul Di Bangkok

BANGKOK, 17 Okt (Bernama) — Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di lima lokasi di Bangkok hari ini bagi membantah pengisytiharan perintah darurat.

Meskipun kebanyakan perkhidmatan Transit Aliran Metropolitan (MRT) dan Skitren Sistem Transit Massa Bangkok (Skitren BTS) telah dihentikan seketika beberapa jam sebelum itu, beribu-ribu orang tetap hadir untuk menyertai tunjuk perasaan hari ini.

Para penunjuk perasaan juga sanggup meredah hujan dan berhimpun di persimpangan Lat Phrao, persimpangan Bangna serta Wongwian Yai, Stesen Asoke BTS dan Sam Yan Mitrtown.

Tunjuk perasaan itu bersurai beberapa jam kemudian.

Susulan kekerasan yang berlaku pada petang Jumaat di persimpangan Pathumwan yang menyaksikan polis didakwa melepaskan cecair pemedih mata ke arah penunjuk perasaan untuk menyuraikan mereka, penganjur hanya mengesahkan perhimpunan itu pada kira-kira 3.10 petang (waktu tempatan).

Para penunjuk perasaan mengulangi tuntutan mereka termasuk peletakan jawatan perdana menteri, pembubaran parlimen, pindaan perlembagaan dan reformasi institusi monarki.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha pada Khamis mengisytiharkan bahawa terdapat ‘situasi darurat serius di Bangkok’ untuk mengharamkan perhimpunan lima orang atau lebih, yang dilaksanakan pada 4 pagi (waktu tempatan) dalam usaha mengakhiri tunjuk perasaan jalanan selama tiga bulan yang dipimpin pelajar.

Sehingga kini, polis telah menahan kira-kira 50 penunjuk perasaan termasuk beberapa pemimpin dan aktivis sejak Selasa, iaitu sehari sebelum perhimpunan besar-besaran berlangsung pada Rabu bagi memperingati ulang tahun ke-47 kebangkitan pelajar pada tahun 1973 yang menyaksikan 77 orang terbunuh.

Sementara itu, Timbalan Komander Polis Metropolitan Bangkok Jeneral Piya Tawichai menyangkal dakwaan bahawa polis menggunakan peluru getah untuk menyuraikan orang ramai pada Jumaat malam.

“Tiada gas pemedih mata dilepaskan. Meriam air yang dicampur dengan bahan kimia telah digunakan untuk menyuraikan orang ramai. Ia tidak akan mendatangkan sebarang risiko kepada kesihatan,” katanya.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.