Siakap Keli

Lima Nyaris Maut, Kereta Dinaiki Terbakar Selepas Bertembung Motosikal

ALOR SETAR, 18 Okt – Lima individu nyaris maut apabila kereta jenis Proton Saga BLM yang mereka naiki terbakar selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di KM74.2 Lebuh raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Gurun malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berumur lingkungan lapan hingga 60 tahun.

Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan mengenai insiden itu pada 10.17 malam serta tiba di lokasi kejadian 16 minit kemudian dengan kekuatan 18 anggota termasuk pegawai bagi operasi menyelamat dan memadam kebakaran.

“Semasa pasukan keluar operasi tiba di lokasi, didapati kebakaran berlaku yang melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM selepas kedua-dua kenderaan tersebut terlibat dengan kemalangan. Peratus kebakaran kedua-dua kenderaan dianggarkan 95 peratus,” menurutnya dalam kenyataan ringkas.

Mohamadul Ehsan berkata penunggang motosikal yang merupakan remaja perempuan berusia 17 tahun cedera dalam kemalangan itu dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk rawatan lanjut manakala kelima-lima individu tidak mengalami kecederaan.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang