Siakap Keli

Seorang Pegawai Penjara Seberang Perai Positif Covid-19

GEORGE TOWN, 18 Okt (Bernama) — Seorang pegawai penjara di Penjara Seberang Perai, di Jawi dekat sini disahkan positif COVID-19 semalam, kata Pengarah Penjara Pulau Pinang Roslan Mohamed.

Tanpa mendedahkan umur dan jantina, Roslan berkata, pegawai itu merupakan antara 26 orang daripada Kluster Penjara Jawi yang ujian saringan COVID-19 disahkan positif semalam, dan beliau kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

“Ini adalah kes pertama membabitkan pegawai penjara, selepas 53 banduan di situ (Penjara Seberang Perai) positif COVID-19. Sebaik keputusan ujian saringan diterima, pihak petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat saringan terhadap kontak rapat pegawai terbabit, dan kami masih menunggu keputusan mereka.

“Pihak penjara ketika ini sentiasa memantau perkembangan terkini dengan teliti dan setakat ini kami belum tahu bagaimana pegawai berkenaan mendapat jangkitan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Roslan berkata semua 25 banduan yang disahkan positif COVID-19 semalam adalah banduan yang sedang menjalani hukuman dan mereka yang juga baharu masuk bulan lepas ditempatkan di blok bersama penghuni baharu yang juga positif penyakit itu sebelum ini.

Beliau berkata ketika ini semua 53 banduan yang positif COVID-19 itu menerima rawatan di dalam penjara dan dilaporkan dalam keadaan baik serta stabil.

Dalam pada itu, beliau berkata semua 160 kes positif baharu di Penjara Reman Pulau Pinang yang dilaporkan semalam, adalah terdiri daripada banduan dan tiada pegawai atau kakitangan penjara di situ yang positif setakat ini.

“Berlaku peningkatan ketara di penjara itu dan kami juga meningkatkan prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani situasi berkenaan, setakat ini fasiliti di pusat rawatan di penjara tersebut mencukupi untuk menampung banduan yang positif COVID-19.

Sehingga semalam, Pulau Pinang mempunyai dua kluster utama iaitu di Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai, menjadikan kedua-duanya adalah penjara ketiga dan keempat di negara ini yang dijangkiti COVID-19, selepas Tawau di Sabah dan Alor Star di Kedah.

Setakat ini, Kluster Penjara Reman mencatat 160 kes aktif baharu semalam menjadikan jumlah kes COVID-19 positif adalah 377 dengan satu kematian, manakala Kluster Penjara Jawi pula merekodkan sebanyak 54 kes.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.