Siakap Keli
air selangor
Kredit: Google

Air Selangor: Bekalan Air Dijangka Mula Disalurkan Pagi Esok

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) — Bekalan air dijangka mula disalurkan kepada pengguna pada 8 pagi esok (20 Okt) selepas operasi rawatan air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang bermula 6 petang tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata empat loji berkenaan akan memaksimakan pengeluaran dan memenuhi paip-paip utama dan kolam terminal.

“Air Selangor menyediakan pelan pemulihan bekalan air untuk 1,292 kawasan yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual di Wilayah Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jadual pelan pemulihan itu dibahagikan kepada tiga kumpulan utama mengikut wilayah iaitu Kumpulan Satu (bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 8 pagi, 21 Okt); Kumpulan Dua (dijangka pulih sepenuhnya pada 8 pagi, 22 Okt) dan Kumpulan Tiga (dijangka pulih sepenuhnya pada 8 pagi, 23 Okt).

“Air Selangor memohon kerjasama pengguna agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di semua kawasan terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan bekalan air,” katanya.

Elina memaklumkan setakat ini, Air Selangor menggerakkan 91 lori tangki air ke premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis yang terjejas.

Beliau berkata pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui 21 pili awam, dan 34 tangki statik di 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang disediakan untuk kemudahan pengguna semasa tempoh pemulihan bekalan air.

“Pengguna dinasihatkan mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki, pili awam dan PKS.

“Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi kami iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor serta laman sesawang www.airselangor.com,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.