Siakap Keli
Gambar: Bernama

Annuar Bertemu Rakyat United Susulan Hasrat Putrajaya Miliki Pasukan Bola Sepak

PUTRAJAYA, 19 Okt — Harapan Putrajaya untuk mempunyai pasukan bola sepak sendiri yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2021 mungkin akan dapat direalisasikan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Katanya cadangan untuk mempunyai pasukan bola sepak sedang dibincangkan di semua peringkat termasuk berbincang dengan pengurusan Rakyat United selain menyuarakan hasrat itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pada 12 Okt lepas, Annuar menerusi ciapan akaun Twitter miliknya menyatakan kemungkinan Putrajaya akan mempunyai pasukan bola sepaknya sendiri dan bersaing dalam Liga-M musim depan.

Mengulas mengenai perkara itu, Annuar mengakui telah bertemu dengan pengurusan Rakyat United, namun masih belum ada keputusan setakat ini.

“Memang betul saya bertemu dengan pengurusan Rakyat United yang asalnya Felda United FC (FUFC) dan mereka telah dimiliki syarikat-syarikat tertentu.

“Saya hanya meninjau dan buat masa ini tiada apa-apa keputusan, kalau ada rezeki dan jodoh… harapan saya agar ada pasukan yang mewakili rakyat dan warga Putrajaya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan operasi sanitasi awam di Presint 4 di sini, hari ini.

Kewujudan sebuah kelab bola sepak baharu yang menggunakan nama Rakyat United menjadi tular dan hangat diperbincangkan peminat bola sepak di media sosial, apabila kelab itu dikatakan sedang merekrut pemain untuk saingan Liga-M musim depan.

Kemunculan kelab bola sepak baharu itu dilihat sebagai menguatkan lagi spekulasi bahawa ia adalah penjenamaan semula pasukan Felda United FC.

Menerusi hantaran laman Facebook pada 17 Okt, kelab bola sepak itu menyatakan bahawa Rakyat United adalah sebuah pasukan yang dijenamakan semula dengan pemilikan 100 peratus syarikat korporat.

Terdahulu kelab itu juga membuka permohonan untuk mana-mana pemain amatur atau profesional untuk menyertai kelab berkenaan bagi saingan Liga Super atau Liga Premier, Piala Presiden serta Piala Belia.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right