Siakap Keli
Kredit gambar: KKM/Google

“Gelombang Ketiga COVID-19 Sememangnya Lebih Mencabar Walau Kita Bersedia…” – KKM

PUTRAJAYA, 19 Okt – Gelombang ketiga wabak COVID-19 di negara ini lebih mencabar meskipun persediaan daripada segi kapasiti dan tindakan kesihatan awam telah dijalankan.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi satu kenyataan berkata, kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) pada permulaan gelombang ketiga pada 20 September lalu adalah 2.2, namun ia menurun kepada 1.5 dalam tempoh empat minggu.

“Ini bermakna setakat ini usaha yang dijalankan telah dapat mengelakkan peningkatan kes secara mendadak seperti dalam graf unjuran.

Kredit infografik: KKM

“Bagaimanapun, jika dilihat pada carta palang ini, iaitu jumlah kes positif COVID-19 yang dilaporkan setiap hari, didapati ia masih mengikuti garisan unjuran nilai R = 1.5.

“Oleh itu, boleh dijangkakan kes harian COVID-19 masih akan meningkat tetapi bukan secara mendadak,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Tambahnya, unjuran tersebut amat penting kerana ia menunjukkan bahawa masih terdapat ruang untuk berusaha mengawal situasi gelombang ketiga tersebut.

“Kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan agar kita sekali lagi dapat melandaikan lengkung ini,” tambah kenyataan itu lagi.

Nota: Nilai Ro merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh kes positif atau hos virus tersebut.

Misalnya, jika nilai Ro adalah 4, ia bermakna bahawa setiap seorang kes positif boleh menyebarkan penyakit tersebut kepada empat orang yang lain dalam satu tempoh kebolehjangkitan.

Sumber: KKM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'