Siakap Keli

Ini Bukan Keranda, Doktor Jelaskan Fungsi Sebenar Isopod Bawa Pesakit COVID-19 & Orang Ramai Tak Perlu Takut

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Ketika sibuk menguruskan ramai pesakit di hospital, pasti banyak karenah dan ragam yang ditunjukkan mereka sepanjang rawatan.

Ada yang takut jarum, ada yang pengsan lihat darah sendiri, ada yang ngeri tengok luka dan bermacam-macam lagi.

Tapi bagi kes pesakit-pesakit COVID-19, mereka pun ada ‘kisah-kisah’ mereka sendiri.

Seorang pengamal perubatan yang bertugas menguruskan pesakit COVID-19, Dr. Muhammad Na’im Ab Razak berkongsi satu kisah pesakit yang meronta-ronta nak keluar dari Isopod.

Difahamkan, antara sebab mereka takut ialah berasa berasakan akan ‘dibungkus’ ke dalam ‘keranda’ hidup-hidup. Ikuti perkongsian ini.

Gambar: Dr. Muhammad Na’im Ab Razak

Isopod bukan keranda

Seorang pesakit meronta-ronta mahu keluar dari isopod. Dengan keadaannya yang masih batuk-batuk, cecair kahak bersembur ke merata-rata. Topeng muka yang diberikan hilang entah ke mana.

Bagi memudahkan urusan perjalanan, saya terpaksa memberikan ubat penenang kepada pesakit supaya dia dapat tidur.

Saya faham, penduduk mungkin takut dengan isopod. Malah, saya juga menerima aduan bahawa pihak hospital dikatakan meletakkan pesakit yang masih hidup ke dalam keranda.

Ia dilihat sebagai satu tindakan kurang berpatutan kerana seolah-olah mendoakan perkara tidak baik kepada pesakit.

Isopod bukanlah peralatan perubatan magis. Ia juga bukan keranda. Tak!

Ia hanyalah satu bekas plastik yang berbentuk beg kompartmen dan akan menghasilkan satu ruang dengan tekanan udara negatif berbanding udara dari luar, apabila suis pam anginnya dihidupkan.

Gambar sekadar hiasan. Kredit: Google

Tujuannya cuma satu, untuk mengurangkan risiko jangkitan virus terhadap petugas perubatan.

Ia sebenarnya disarankan untuk semua pesakit Covid-19 tetapi kita tiada wang untuk membeli banyak isopod. Harganya memang mencecah lima angka.

Oleh itu, setiap hospital cuma ada 1-2 isopod sahaja. Saya biasanya akan mengutamakan pesakit yang mempunyai peratusan untuk menghasilkan cecair bawaan udara ketika pesakit di hantar ke mana-mana pusat rawatan menggunakan ambulan.

Pesakit sebegini adalah mereka-mereka yang memerlukan penggunaan bantuan oksigen berkepekatan tinggi, yang dilakukan prosedur intubasi atau pesakit bergejala berisiko tinggi (iaitu mereka yang tidak boleh bekerjasama bagi memakai pelitup muka).

Ini kerana, ruang belakang ambulan adalah berbentuk kompartmen tertutup yang berisiko menyebabkan virus boleh berterbangan di dalamnya. Ini sekaligus akan membahayakan frontliner.

Penggunaan isopod adalah selamat. Kami sendiri telah membuat uji-kaji dengan meletakkan staf perubatan di dalamnya sebelum menggunakan ia untuk pesakit.

Cuma, ia kurang sesuai untuk mereka yang ada klaustrofobia atau tidak boleh mengikut arahan. Tapi, penggunaan ubat sedatif boleh membantu proses ini.

Oleh itu, sebarkan mesej ini seramai mungkin khususnya kepada orang kampung di Semporna agar mereka tidak takut lagi apabila dimasukkan ke dalam isopod.

Sumber: Dr. Muhammad Na’im Ab Razak

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'